Search
Close this search box.

_

LRT LALUAN AMPANG/SRI PETALING:PERKHIDMATAN BAS PERANTARA LRT11 DIPERTINGKATKAN

Kekerapan tren di antara Sentul Timur dan Bandaraya akan dikurangkan atas faktor keselamatan

KUALA LUMPUR, 25 Februari 2023 – Perkhidmatan bas perantara LRT11 yang beroperasi di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya akan ditambah mulai Isnin 27 Februari 2023 bagi kemudahan orang ramai yang menggunakan laluan tersebut.

Sejumlah 15 buah bas perantara LRT11 akan beroperasi di antara kedua-dua stesen tersebut dengan kekerapan setiap 10 minit.

Penambahan bas perantara ini adalah bagi menyokong operasi tren di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya yang akan beroperasi dengan kekerapan setiap 24 minit mulai Isnin.

Perkhidmatan bas tersebut yang telah diaktifkan semula pada Khamis lepas akan berhenti di stesen-stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya. Pihak DBKL akan menyokong dengan laluan khas bas bagi melancarkan perjalanan.

Anggota operasi rel, polis bantuan dan Troopers akan ditugaskan di stesen-stesen tersebut bagi membantu mengawal pergerakan penumpang di stesen dan platform.

Akibat kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen Bandaraya yang dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di kawasan berhampiran, lima buah tren yang sebelum ini digunakan di antara Sentul Timur dan Bandaraya tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk menjalani penyelenggaraan.

Ekoran itu, didapati hanya dua daripada lima buah tren kini memenuhi kriteria keselamatan dan operasi yang ditetapkan sementara tiga buah tren lagi telah dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Kedua-dua tren tersebut akan digunakan secara bergilir mulai Isnin bagi memastikan kedua-duanya tidak terjejas dan dapat terus beroperasi pada tahap optimum, sekaligus mengelakkan penutupan sepenuhnya stesen-stesen di antara Sentul Timur dan Bandaraya.

Kami memohon maaf atas kesulitan yang mungkin dialami oleh para penumpang dalam tempoh ini dan akan terus mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengurangkan kesulitan yang dialami.

Language:

Search