Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN BAS PENGHUBUNG KOMUNITI KAJANG & BANGI KE PUTRAJAYA 

Perkhidmatan percubaan Laluan 451 dimulakan 3 Julai 2023 

KEMASKINI: PERCUBAAN DILANJUTKAN SEHINGGA 31 DISEMBER 2023!

KUALA LUMPUR, 28 Jun 2023 – Berita baik untuk penduduk di sekitar kawasan Kajang dan Bangi! Perkhidmatan percubaan bagi perkhidmatan bas Laluan 451 dari Stesen MRT Kajang sehingga MRT Putrajaya Sentral akan mula beroperasi selama tiga (3) bulan mulai 3 Julai 2023 sehingga 30 September 2023.

 Perkhidmatan ini akan beroperasi dari hari Isnin sehingga Jumaat pada waktu puncak pagi iaitu dari 6:30 pagi sehingga 8:00 pagi dan pada waktu puncak petang iaitu dari jam 4:30 petang sehingga 6:00 petang. 

Ianya akan menghubungkan Kajang dan Bangi dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya, melalui beberapa hentian terhad di sepanjang laluan tersebut. 

Hentian-hentian terhad yang akan dilalui adalah Hentian Kajang, Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi, Kompleks Parcel E (Barat), Kompleks Kerajaan Parcel D, Kementerian Kewangan, Istana Kehakiman (Utara), Perbadanan Putrajaya serta Galeria PJH. 

“Perkhidmatan percubaan ini adalah salah satu inisiatif Rapid Bus Sdn Bhd dalam menyediakan sistem rangkaian pengangkutan untuk menghubungkan lokasi-lokasi yang tidak diliputi oleh sistem pengangkutan rel. Sepanjang tempoh percubaan, kami akan mengkaji keberkesanan perkhidmatan bas sebagai penghubung jurang tersebut,” kata Ku Jamil Zakaria, Ketua Pegawai Operasi, Rapid Bus Sdn Bhd.

“Buat masa ini, tiada perkhidmatan pengangkutan awam lain yang menghubungkan orang ramai mahupun kakitangan kerajaan yang tinggal di Kajang dan Bangi untuk terus ke Putrajaya. Perkhidmatan percubaan ini juga adalah untuk mengenalpasti sama ada terdapat permintaan bagi laluan ini, terutamanya buat mereka yang berkerja di kawasan Putrajaya,” tambah Ku Jamil. 

Tambang yang ditawarkan sebanyak RM1.00 untuk perjalanan sehala adalah amat berpatutan jika dibandingkan dengan memandu kenderaan persendirian. Penumpang boleh membayar tambang menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50, Kad Konsesi MyRapid dan kad Touch n’ Go. 

Di Stesen MRT Putrajaya Sentral, penumpang mempunyai pilihan meneruskan perjalanan mereka dengan menggunakan pekhidmatan bas perantara MRT atau perkhidmatan bas Nadiputra untuk ke destinasi mereka yang terletak di kawasan Putrajaya. 

Bagi pengguna kenderaan persendirian, mereka boleh meletakkan kenderaan di kawasan parkir Stesen MRT Kajang atau kawasan parkir Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi sebelum meneruskan perjalanan dengan perkhidmatan bas ini. 

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, para penumpang boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my 

Language:

Search