Search
Close this search box.

_

PERKEMBANGAN TERKINI PENUMPANG YANG DIRAWAT DI HOSPITAL KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Susulan insiden membabitkan 2 buah tren LRT pada 24 Mei 2021, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ingin berkongsi perkembangan terkini penumpang yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

“Bagi pihak Prasarana, saya ingin menzahirkan rasa dukacita kami atas kejadian yang menimpa para penumpang. Kami memantau perkembangan mereka yang masih berada di Hospital Kuala Lumpur secara berterusan dan mendoakan agar mereka diberikan kesembuhan dan dikurniakan keafiatan. Fokus utama Prasarana pada waktu ini adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang terbabit serta keluarga mereka,” kata Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Hjh. Norlia Noah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Di dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.33 malam, 24 Mei 2021, sebuah tren yang tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang.

1. Seramai 47 orang penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan setelah dinilaikan oleh pasukan penyelamat dan perubatan kecemasan;

2. Manakala 20 orang lagi menyusul lewat malam, menjadikan jumlah mereka yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur seramai 67 orang.

3. Seramai 146 penumpang yang lain tiada kecederaan atau mengalami cedera ringan.
Daripada 67 orang yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, 62 penumpang telah dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan. Lima (5) penumpang masih berada di hospital di mana tiga individu ditempatkan di wad biasa dan dijangka dibenarkan keluar dalam tempoh 2 hingga ke 7 hari.


Prasarana berterima kasih kepada HKL yang diterajui oleh Pengarah Hospital, Datuk Dr. Heric Corray dan semua wargakerja di atas rawatan, kecekapan, dan sokongan kepada semua penumpang yang terlibat dan ahli keluarga mereka.

BANTUAN KHAS KEWANGAN

Prasarana akan memberikan sumbangan ihsan atau ‘goodwill payment’ kepada para penumpang yang terlibat dalam insiden berkenaan. Jumlah bayaran dan hak penerimaan akan ditentukan sebaik butiran tentang penumpang dapat dilengkapi. Saluran khas di talian 014 737 1330 dan e-mel: recovery2021@prasarana.com.my telah dilancarkan khusus untuk komunikasi secara langsung dengan para penumpang yang terlibat.

Sehingga 8 pagi hari ini, seramai 130 daripada 213 penumpang telah berjaya dikenalpasti. Terdapat juga 12 warga asing dari Indonesia, Filipina, Iran, Bangladesh dan Timur Tengah dan pihak kedutaan negara-negara berkenaan telah dihubungi.

“Prasarana berharap semua penumpang yang terlibat yang belum menghubungi kami untuk tampil segera. Maklumat ini penting untuk Prasarana menyelaras bantuan seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan para penumpang kami khususnya atas insiden yang tidak diingini ini. Kami amat dukacita dengan kejadian ini yang menghapuskan rekod baik LRT Laluan Kelana Jaya yang telah beroperasi selama 23 tahun.

“Saya juga memohon maaf atas sebarang kekhilafan dan kepincangan kami dalam menangani insiden ini. Kami akan terus berkongsi maklumat terkini tentang perkembangan mereka yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, status pengesanan para penumpang serta proses pemulihan sepenuhnya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, yang amat penting untuk urusan harian warga kota,” tambah Norlia.

Prasarana turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertindak pantas di dalam mengendalikan operasi menyelamat.

Prasarana memberi jaminan bahawa ia akan memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian Pengangkutan dan PDRM, di samping berhubung rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Selepas menggunakan operasi satu trek sejak insiden berkenaan, perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya kembali kepada operasi normal daripada 3.45 petang semalam.

Language:

Search