KUALA LUMPUR, 4 Mei – Rapid KL hari ini mengumumkan penyusunan semula laluan-laluan bas di Koridor Jalan Ipon dan Jalan Pahang yang melibatkan empat laluan dipendekkan, dua laluan ditamatkan dan satu laluan disusun semula.
Berkuatkuasa 17 Mei ini, empat laluan yang dipendekkan itu adalah Laluan 170, 191, 200 dan 201 manakala laluan yang disusun semula adalah laluan 251. Dua laluan yang ditamatkan adalah Laluan 172 dan 690, menurut satu kenyataan media Rapid KL.
“Langkah ini ini adalah selaras dengan proses rasionalisasi laluan bas secara berperingkat yang dilaksanakan sejak akhir 2018 bagi mengoptimumkan sumber dan aset kami di samping menangani cabaran dan kekangan akibat penularan wabak COVID-19 pada masa sekarang,” tambah kenyataan itu.
Butiran penuh adalah seperti jadual tertera:
Menurut kenyataan itu, penyusunan semula laluan-laluan ini dibuat selepas kajian terperinci berdasarkan kepada jumlah penumpang yang rendah di samping pertindihan perkhidmatan dan kehadiran pengangkutan awam alternatif untuk mereka gunakan seperti perkhidmatan bas GOKL, perkhidmatan Monorel dan LRT.
“Penyusunan semula ini membolehkan pihak kami menggunakan bas secara lebih cekap dengan meningkatkan kekerapan beberapa laluan-laluan lain sesuai dengan permintaan. Ia dapat membantu di dalam memastikan kelestarian operasi secara keseluruhan untuk terus menyediakan perkhidmatan kepada seberapa ramai para pelanggan yang boleh dengan sumber yang sedia ada,” tambah kenyataan berkenaan.
Untuk kemudahan dan penjimatan, Rapid Bus menyarankan agar pengguna warga Malaysia untuk menggunakan pas perjalanan tanpa had My30, yang membolehkan mereka mengguna semua perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL tanpa dikenakan apa-apa caj tambahan.
Para pelanggan boleh menggunakan aplikasi PULSE yang dibangunkan oleh Prasarana yang dapat dimuat turun daripada Google Play dan App Store bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan Rapid Bus untuk membantu mereka merancang perjalanan mereka.