KUALA LUMPUR, 21 Mac – Para peminat bola sepak khususnya penyokong-penyokong Kuala Lumpur dan Selangor digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) untuk berkunjung ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia yang melibatkan kedua-dua pasukan berkenaan.
Walau dari manapun memulakan perjalanan, para peminat hanya perlu pergi ke stesen MRT SBK terdekat dan meneruskan perjalanan ke Stesen MRT Cochrane untuk mengambil bas perantara T400 (Cochrane – Bandar Tun Razak) dan terus ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Tambang untuk bas perantara adalah RM1 satu perjalanan.
“Bas perantara berkenaan mempunyai hentian khusus di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekali gus menyediakan perjalanan selesa untuk para peminat tanpa perlu memandu dan mengharungi kesesakan lalu lintas serta kepayahan mencari tempat parkir kereta di stadium,” menurut satu kenyataan Rapid KL di sini hari ini.
“Bagi yang menggunakan LRT pula, anda hanya perlu menuju ke Stesen LRT Maluri, yang berhubung dengan Stesen MRT Maluri. Anda tidak perlu meneruskan perjalanan ke Stesen Cochrane kerana bas perantara T400 akan turut singgah di Stesen MRT Maluri dalam perjalanannya ke Bandar Tun Razak.
“Ini adalah perjalanan rutin bas perantara T400, yang sentiasa menghubungkan Stadium Cheras dengan perkhidmatan MRT SBK. Bagi keselesaan para peminat bola sepak, Rapid KL akan memantapkan lagi operasi pada hari-hari perlawanan termasuk meningkatkan kekerapan bas di sebelah malam. Bagaimanapun, perjalanan bas bergantung kepada arahan pihak berkuasa di kawasan stadium,” tambah kenyataan itu.
Operasi MRT SBK dikendalikan oleh Rapid Rail manakala perkhidmatan bas perantara diuruskan oleh Rapid Bus di bawah jenama perkhidmatan, Rapid KL. Kedua-dua Rapid Rail dan Rapid Bus adalah anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Menurut kenyataan itu lagi, para peminat boleh memakir kenderaan di mana-mana fasiliti parkir dan gerak (park ‘ ride) yang terdapat di stesen-stesen terpilih MRT dan LRT dan meneruskan perjalanan dengan selesa dengan tren.
Bagi saingan Liga Super dan Piala FA musim ini, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, yang mempunyai kapasiti 18,000 penonton, dipilih sebagai venue untuk pasukan Kuala Lumpur dan Selangor ‘Red Giants’, yang sebelum ini menggunakan Stadium Shah Alam. Stadium Shah Alam kini menjadi gelanggang rasmi pasukan Liga Super PKNS dan kelab Liga Perdana Felcra FC untuk musim ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas Rapid KL, sila layari laman web www.myrapid.com.my
Bas perantara MRT SBK dikendalikan oleh Rapid Bus menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada para pengguna dengan menghubungkan terus ke stesen-stesen MRT. Gunakan bas perantara T400 dari Stesen MRT Cochrane dan Maluri untuk ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.