Search
Close this search box.

_

PENUTUPAN SEMENTARA 3 STESEN MRT LALUAN KAJANG UNTUK KERJA-KERJA MIGRASI AKHIR

Kemudahan bas shuttle percuma untuk penumpang

KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2021: Pembinaan MRT Laluan Putrajaya kini hampir siap, dengan kemajuan untuk keseluruhan projek di tahap 94%. Fasa Satu dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu telah 99.9% siap dan dijangka mula beroperasi pada bulan November tahun ini.

Salah satu aktiviti pembinaan yang masih berjalan sebelum pembukaan Fasa Satu adalah migrasi terakhir untuk pemindahan sebahagian daripada MRT Laluan Kajang dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Sungai Buloh, menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Putrajaya.

Untuk kerja-kerja migrasi terakhir, bahagian MRT Laluan Kajang ini termasuk tiga stesen iaitu Stesen MRT Kwasa Damansara, Stesen MRT Kampung Selamat dan Stesen MRT Sungai Buloh akan ditutup buat sementara waktu dari 9 Oktober 2021 sehingga Fasa Satu MRT Laluan Putrajaya dilancarkan pada bulan November 2021.

Stesen KTM Sungai Buloh serta kemudahan ‘park-and-ride’ di sebelah Stesen MRT Sungai Buloh akan terus dibuka dan beroperasi seperti biasa.

Semua tren MRT dari Kajang akan berhenti di Stesen MRT Kwasa Sentral. Bagi penumpang yang ingin meneruskan perjalanan, bas shuttle percuma akan disediakan di antara Stesen MRT Kwasa Sentral dan Stesen MRT Sungai Buloh.  Bas shuttle ini juga akan berhenti di Stesen MRT Kampung Selamat. Perkhidmatan bas shuttle akan beroperasi pada waktu yang sama dengan waktu operasi MRT, dengan kekerapan 10 minit di antara 6:00 pagi dan 8:00 malam, dan 15 minit di antara 8:00 malam dan 12 tengah malam.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Bhd Datin Norlia Noah berkata, sebagai pengendali MRT Laluan Kajang, Rapid Rail Sdn Bhd telah mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan pergerakan penumpang ke bas shuttle berjalan dengan lancar.

“Kami akan memastikan perkhidmatan bas shuttle adalah mencukupi untuk memindah penumpang daripada Kwasa Sentral ke Kampung Selamat dan Sungai Buloh dan sebaliknya,” katanya semasa taklimat media di Stesen Kwasa Damansara.

Beliau menambah bahawa papan tanda yang mencukupi telah dipasang dan pengumuman kerap dibuat di stesen untuk memaklumkan pengguna MRT mengenai penutupan stesen sementara supaya mereka dapat merancang perjalanan mereka dengan sewajarnya.

Pengarah Projek Laluan Putrajaya MRT Corp, Dato’ Amiruddin Ma’aris berkata, penutupan stesen sementara perlu dilaksanakan untuk membolehkan migrasi terakhir sistem operasi penting seperti komunikasi, semboyan dan lain-lain daripada MRT Laluan Kajang ke MRT Laluan Putrajaya yang akan dibuka tidak lama lagi.

“Setelah kerja-kerja migrasi selesai, kita juga harus melakukan demonstrasi prestasi sistem untuk memastikan bahawa sistem yang dimigrasi tersebut semuanya berfungsi seperti dikehendaki. Dan terakhir, tempoh ini juga akan digunakan oleh Rapid Rail sebagai pengendali MRT Laluan Putrajaya untuk membiasakan diri dengan bahagian laluan yang dimigrasi,” katanya, sambil menambah bahawa semua aktiviti yang disebutkan harus diselesaikan sebelum Fasa Pertama MRT Laluan Putrajaya dibuka pada bulan November 2021. “Kami mohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh pengguna-pengguna MRT. Saya berharap mereka boleh faham bahawa kerja-kerja ini adalah untuk penambah baikan rangkaian rel bandar Lembah Klang dengan pembukaan sembilan stesen baru di bawah Fasa Satu MRT Laluan Putrajaya,” katanya.

Language:

Search