KUALA LUMPUR, 26 November – Selaras dengan langkah memperkenalkan kad perjalanan tanpa had MY50, Rapid Bus mengumumkan langkah untuk menamatkan penggunaan MYRAPID BUS 30 pada akhir tahun ini.
Dengan penamatan itu, penjualan produk MYRAPID BUS 30, yang merupakan pakej penjimatan untuk menggunakan perkhidmatan bas Rapid KL di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, akan ditamatkan; dengan tarikh akhir penjualan ditetapkan pada 30 November 2018.
Menurut statistik, terdapat seramai 2,141 atau 1.2% penumpang yang menggunakan pas MYRAPID BUS 30 daripada jumlah keseluruhan pengguna bas RapidKL yang berjumlah 183,361.
Mengumumkan perkara ini dalam satu kenyataan media hari ini, Rapid Bus – sebuah anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) – berkata produk MYRAPID BUS 30, yang dijual di stesen-stesen LRT, MRT dan monorel, hanya boleh digunakan oleh pengguna sehingga 31 Disember 2018.
“Produk MYRAPID BUS 30 ini akan diganti dengan produk pas bulanan baru, MY50, yang akan bermula pada 1 Januari 2019. Produk ini, bagaimanapun, hanya boleh dibeli dan digunapakai oleh pengguna pemegang kad MyKad dan MyTentera saja.
“Bagi pengguna yang bukan pemegang kad MyKad (bukan warga negara Malaysia), pengguna tersebut boleh menikmati diskaun sebanyak 20% dengan menggunakan kad TnG atau membayar tambang penuh secara tunai kepada pemandu bas,” kata kenyataan media itu.
Insentif kad perjalanan MY50, yang memberikan perjalanan tanpa had selama 30 hari dengan bayaran RM50 untuk semua perkhidmatan bas Rapid KL kecuali Bas Rapid Transit (BRT) – Laluan Sunway telah diumumkan oleh Kerajaan dalam Belanjawan 2019 bersama-sama dengan kad MY100, yang memberikan perjalanan tanpa had selama 30 hari untuk semua perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL – bas, LRT, MRT, monorel dan BRT, dengan bayaran RM100.
Dijadualkan untuk dilancarkan bulan depan, penggunaan kad MY100 dan MY50 bakal bermula pada 1 Januari depan.