Search
Close this search box.

_

PENGGUNA TERJEJAS AKIBAT MASALAH TEKNIKAL SEBUAH TREN MRT DI STESEN PHILEO DAMANSARA

KUALA LUMPUR, 5 Januari – Susulan masalah kelewatan jadual perjalanan perkhidmatan Laluan Kajang pada pagi tadi, pihak Rapid Rail Sdn Bhd ingin memaklumkan bahawa tren yang terkandas di landasan Stesen Phileo Damansara akibat masalah teknikal telah berjaya ditunda dari lokasi kejadian dengan selamat pada kira-kira jam 11.50 pagi.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.26 pagi itu, tren nombor 22 telah terkandas apabila sistem brek kecemasannya diaktifkan sejurus bertolak dari Stesen Phileo Damansara menuju ke arah Kajang.

Kakitangan operasi telah dihantar untuk menggerakkan tren secara manual, namun tidak berjaya kerana sistem brek kecemasan tidak memberi tindak balas.

Terdapat 81 penumpang di dalam tren tersebut, dan tren nombor 35 telah digunakan bagi memindahkan penumpang yang terkandas. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Insiden tersebut telah menyebabkan kelajuan tren-tren yang masih beroperasi dikurangkan kepada 60km/j dan terpaksa berhenti selama lebih kurang sepuluh (10) minit di setiap stesen bagi memberi laluan kepada perkhidmatan tren perantara, di mana hanya satu landasan yang dapat digunakan di antara Stesen Phileo Damansara dan Stesen Semantan.

Tren dari arah Stesen Kwasa Sentral menamatkan perkhidmatan stesen Phileo Damansara dan berpatah balik. Manakala tren dari arah Kajang terpaksa menamatkan perkhidmatan di Stesen Semantan dan berpatah balik. Ini telah menyebabkan berlakunya kesesakan penumpang di stesen dan platform.

“Kami ingin memohon maaf kepada semua pengguna yang telah mengalami kelewatan dan kesulitan untuk menuju destinasi khususnya ke tempat kerja pada pagi tadi. Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kerosakan tren. Ini bagi memastikan kejadian seumpama ini dapat dielakkan di masa hadapan,“ kata pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, En Ramli Shafie.

Rapid Rail akan menambah baik prosedur operasi standard dalam mengendalikan kesesakan di stesen khususnya dari segi komunikasi dan penyaluran maklumat kepada para penumpang supaya mereka dapat merancang perjalanan alternatif sekiranya berlaku sebarang insiden.

Pengguna disarankan untuk memuat turut aplikasi PULSE bagi mendapatkan status terkini perkhidmatan rel dan bus seliaan Rapid KL.

Language:

Search
Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App