KUALA LUMPUR, 10 September – Perkhidmatan Laluan Kelana Jaya sedang mengalami kelewatan akibat sebuah tren yang terkandas di landasan Stesen KL Sentral. Setakat jam 11.30 malam, tren tersebut masih di dalam proses tundaan.
Dalam kejadian berlaku pada jam 8.26 malam, sistem penggera brek tren nombor 59 (Tr59) telah diaktifkan secara automatik ketika ia menghampiri Stesen Kampung Baru. Dianggarkan seramai 500 penumpang diminta keluar mengosongkan tren dan ia dilakukan dengan selamat di mana tiada kecederaan dilaporkan.
Selanjutnya tren telah digerakkan ke trek poket penyimpanan sementara di Stesen Universiti. Namun demikian, sejurus tiba di Stesen KL Sentral, ia telah terkandas sepenuhnya akibat masalah teknikal.
Insiden tersebut telah menyebabkan mod servis alternatif diaktifkan dengan serta-merta. Kelajuan tren-tren yang masih beroperasi dikurangkan kepada 50km/j dan terpaksa berhenti selama lebih kurang sepuluh (10) minit di setiap stesen bagi memberi laluan kepada perkhidmatan tren perantara, di mana hanya satu landasan yang dapat digunakan di antara Stesen Bangsar dan Stesen KLCC.
Tren dari arah Putra Heights berpatah balik di Stesen Bangsar manakala tren dari arah Gombak berpatah balik di Stesen KLCC. Ini telah menyebabkan berlakunya kesesakan penumpang di stesen dan platform.
“Kami ingin memohon maaf kepada semua pengguna yang telah mengalami kelewatan dan kesulitan untuk menuju ke destinasi masing-masing. Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kerosakan tren. Ini bagi memastikan kejadian seumpama ini dapat dielakkan di masa hadapan,“ kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Encik Amir Hamdan.
Rapid Rail akan menambah baik prosedur operasi standard dalam mengendalikan kesesakan di stesen khususnya dari segi komunikasi dan penyaluran maklumat kepada para penumpang supaya mereka dapat merancang perjalanan alternatif sekiranya berlaku sebarang insiden.
Pengguna disarankan untuk memuat turut aplikasi PULSE bagi mendapatkan status terkini perkhidmatan rel dan bus seliaan Rapid KL.