KUALA LUMPUR, 18 Disember – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengorak langkah bagi membina satu era baru dengan pelan transformasi 5-tahun, yang antara lain meletakkan reformasi pendidikan dan program kemahiran sebagai satu agenda utama untuk mengubah syarikat yang menjadi pemacu pembangunan pengangkutan awam negara.
Mengumumkan perkara ini hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata komitmen ini terserlah dengan langkah penubuhan Pendidikan Prasarana, yang mana menggabungkan kedua-dua akademi bas dan rel sambil digandingkan dengan kepakaran kemahiran insaniah atau ‘soft skills’ Jabatan Pembelajaran dan Pembangunan yang sedia ada.
Berucap pada Majlis Konvokesyen 2018 Kumpulan Prasarana di sini, Dato’ Mohamed Hazlan berharap penekanan baru terhadap bidang pendidikan dan latihan kemahiran itu dengan menjadikan Prasarana sebagai pusat kecemerlangan teknikal bukan saja akan memanfaatkan Syarikat tetapi industri pengangkutan awam secara keseluruhan termasuk rakan-rakan operator di luar negara.
“Buat julung kali, pendidikan akan menjadi agenda utama dalam bisnis Syarikat di mana pelaburan dan penekanan yang lebih besar akan diberikan untuk pembangunan modal insan melalui bidang latihan vokesyenal dan pendidikan teknikal atau TVET. Dalam menjayakan agenda ini, Kumpulan Prasarana akan meningkatkan kolaborasi dan kerjasama dengan agensi-agensi dan institusi-institusi khususnya institusi pengajian tinggi dan pusat latihan kemahiran,” kata Dato’ Mohamed Hazlan, yang mengambil alih tampuk pengurusan Kumpulan Prasarana pada 3 September lepas.
Sejurus selepas perlantikan beliau, Dato’ Mohamed Hazlan mempelopori pelan transformasi 5-tahun, yang menyenaraikan inisiatif-inisiatif strategik untuk mengubah kedudukan kewangan Kumpulan Prasarana dan menaikkan status Syarikat sebagai pemacu transformasi perkhidmatan pengangkutan awam negara.
Pelan, yang dirangka dengan teliti dan komprehensif oleh seluruh barisan pengurusan Kumpulan Prasarana dan anak-anak Syarikatnya, telahpun dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Pengangkutan, yang kini menjadi kementerian yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Kumpulan Prasarana sekarang.
“Kita perlu sedar bahawa skil sahaja tidak mencukupi dalam menyiapkan para pelajar untuk cabaran-cabaran sekarang; tetapi sebaliknya perlu meliputi skil kemahiran insaniah. Ini adalah adalah pendekatan yang akan digunakan oleh Kumpulan Prasarana melalui program Pendidikan Prasarana, yang mana bukan saja menekankan aspek-aspek teknikal tetapi satu pendekatan yang lebih holistik untuk pembangunan staf.
”Hasrat dan harapan Prasarana bukan saja untuk meningkatkan kemampuan dan pengalaman staf bukan saja dalam menjalankan tugas mereka; tetapi menjadi manusia yang hebat, berwibawa dan berjati diri. Dengan pendekatan sedemikian, kami di barisan pengurusan berharap ia akan menjamin kejayaaan dalam program transformasi Kumpulan Prasarana. Kerana, hanya dengan staf yang komited, berdedikasi, berwibawa, hebat dan jati diri, kita boleh berjaya,” tambah beliau.
Merakamkan ucapan Syabas dan Tahniah kepada graduan-graduan yang menerima sijil, diploma dan diploma lanjutan pada majlis konvokesyen hari ini, Dato’ Mohamed Hazlan berharap mereka akan menjadi pemacu dan pencetus semangat kepada warga kerja Kumpulan Prasarana yang lain dalam merealisasikan pelan transformasi itu sebagai satu kenyataan.
Majlis konvokesyen, yang diadakan di Pusat Konvesyen Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat, telah diisyitiharkan pembukaannya oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, Dr. Mohd Rashid Buyong Hamzah.
Seramai 742 staf dan kakitangan Kumpulan Prasarana diraikan pada majlis berkenaan selepas menamatkan pelbagai program latihan kemahiran di bawah Persijilan Kemahiran Malaysia atau ‘Malaysia Skills Certification’, yang dikendalikan oleh Akademi Bas Rapid Bus dan ‘Prasarana International Training Academy in Rail’, ataupun PINTAR dan yang dahulunya dikenali sebagai Akademi Rel Rapid Rail.
Mereka membawa pulang Sijil, Diploma dan Diploma Lanjutan, yang meliputi pelbagai bidang kemahiran dalam industri rel dan bas daripada inspektorat pengangkutan awam, operasi pusat kawalan, penyelenggaraan isyarat dan komukasi tren, operasi stesen tren, sistem pengelektrikan rel, penyelenggaraan tren dan bas, serta operasi pemanduan bas.