KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2022 – Susulan keratan dari akhbar New Straits Times yang bertajuk “Rapid KL’s bus service does not befit its name” yang disiarkan pada 19 Ogos 2022 mengenai perkhidmatan bas di laluan 650 (Hab Pasar Seni ke Taman Desa), Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) peka dan mengambil berat tentang aduan yang telah dikemukakan.
Pihak Rapid Bus serta pengurusan telah mengambil keputusan untuk membuat penambahbaikan bagi laluan 650 bermula 23 Ogos 2022, dengan penambahan jumlah bas serta kekerapan bas pada waktu puncak pagi dan petang yang dipercepatkan dari 30 dan 40 minit bagi setiap bas, kepada 20 dan 30 minit.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, “Penambahan bas serta pengurangan waktu menunggu sebanyak 10 minit ini diharapkan dapat mempercepatkan masa perjalanan bagi para pengguna perkhidmatan bas di laluan 650 untuk mereka ke destinasi yang ingin ditujui.”
Para penumpang boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi perkhidmatan bas Rapid KL di laman media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE di telefon pintar anda. Kami akan mengemas kini maklumat terbaharu bagi memudahkan para penumpang merancang perjalanan anda.