KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER 2024 – Rapid Rail Sdn Bhd ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkembangan terkini usaha penambahbaikan fasiliti bagi perkhidmatan Monorel Kuala Lumpur. Bermula 15 November 2024, Pintu Platform Automatik (PAGS) di Stesen KL Sentral dan Stesen Tun Sambanthan kini beroperasi sepenuhnya.
Usaha ini adalah sebahagian daripada projek penambahbaikan menyeluruh yang dilaksanakan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang meliputi pemasangan lif, naik taraf sistem kamera litar tertutup (CCTV), dan penambahbaikan tandas di kesemua 11 stesen Monorel.
Pemasangan PAGS adalah langkah penting bagi meningkatkan keselamatan pengguna di platform, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan. Kemudahan ini juga diharap dapat memberikan keselesaan dan keyakinan kepada semua pengguna, termasuk dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU). PAGS direka agar beroperasi selari dengan pergerakan pintu tren, dengan tambahan tiga (3) pintu kecemasan serta skrin tetap di hujung platform untuk memperkukuh aspek keselamatan.
Kerajaan menyedari masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam sistem pengangkutan awam. Sehubungan itu, Prasarana terus komited untuk meningkatkan kemudahan dan keselesaan penumpang, dengan memastikan piawaian keselamatan tertinggi dipatuhi. Dalam perkembangan seterusnya, PAGS di empat (4) stesen Monorel antara Maharajalela hingga Bukit Bintang dijangka beroperasi menjelang akhir bulan ini, manakala lima (5) lagi stesen akan siap sepenuhnya pada penghujung Disember 2024.
Sepanjang tempoh ini, penumpang dinasihatkan untuk mematuhi arahan yang dipaparkan di stesen dan menghubungi pegawai stesen atau Polis Bantuan sekiranya memerlukan bantuan.
Rapid Rail mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas kerjasama dan sokongan sepanjang pelaksanaan inisiatif ini. Kami akan terus berusaha memastikan perkhidmatan Laluan Monorel lebih selamat, selesa, dan boleh dipercayai untuk semua.