• Pengguna disaran guna kad Touch ‘n Go bagi memudahkan perjalanan.
• Sebanyak 18,680 ruang parkir kereta tersedia di stesen – stesen rel.
KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2024 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi Stesen LRT Bukit Jalil pada malam 24 Ogos 2024 sehingga jam 1.00 pagi (Ahad, 25 Ogos 2024) sempena Perlawanan Akhir Piala FA Malaysia 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Untuk memastikan kelancaran pergerakan penumpang, tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan bagi keselesaan penumpang untuk pulang ke destinasi masing – masing.
Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, bagaimanapun para penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan. Semua stesen – stesen pertukaran rel turut dilanjutkan waktu operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.
Penumpang disaran untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen. Bagi pengguna token, digalakkan untuk membeli token pergi dan balik sebelum keluar dari stesen.
Rapid Rail juga menyarankan penumpang untuk menggunakan fasiliti parkir Park N’ Ride yang terdapat di stesen – stesen LRT dan MRT terpilih. Sejumlah 18,680 ruang parkir kereta tersedia bagi penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan tren untuk ke stadium.
Bagi memudahkan penumpang merancang perjalanan, sila rujuk media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE bagi mendapatkan informasi terkini mengenai status perkhidmatan.