Search
Close this search box.

_

OPERASI PERKHIDMATAN ALTERNATIF LRT LALUAN AMPANG/SRI PETALING BERJALAN LANCAR

KUALA LUMPUR, 30 Januari 2023 – Operasi laluan alternatif perkhidmatan LRT Laluan Ampang / Sri Petaling, yang melibatkan perkhidmatan tren ‘shuttle’ antara stesen LRT Hang Tuah dan LRT Masjid Jamek dan bas perantara percuma, berjalan lancar pada hari ini.

Berdasarkan pemerhatian di stesen-stesen utama seperti stesen LRT Hang Tuah dan stesen LRT Masjid Jamek pada waktu puncak pagi dan petang mendapati pergerakan penumpang adalah lancar dan terkawal, walaupun keadaan sesak dengan jumlah penumpang yang tinggi ekoran warga kota yang telah kembali bekerja selepas cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Sebanyak 34 buah bas perantara percuma telah diaktifkan bagi membawa penumpang- penumpang dari stesen LRT Hang Tuah dan LRT Masjid Jamek sebagai pilihan perjalanan alternatif.

Perkhidmatan-perkhidmatan alternatif tersebut telah diaktifkan akibat gangguan perkhidmatan LRT di antara dua stesen – LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek.

Seramai 348 kakitangan Prasarana merangkumi anggota Polis Bantuan dan kakitangan sokongan telah berada di stesen-stesen utama bagi mengawal pergerakan penumpang dan membantu perjalanan penumpang.

Waktu puncak pagi dan petang bagi perkhidmatan LRT Laluan Ampang dan juga Monorel telah dilanjutkan bermula hari ini bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen. Waktu puncak pagi telah dipanjangkan dari jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi manakala waktu puncak petang telah dipanjangkan dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam. Ini adalah bagi memberi kemudahan kepada pengguna untuk merancang perjalanan.

Perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling di antara dua stesen – LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek – telah dihentikan operasi pada hari Jumaat lepas apabila landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya didapati bengkok. Ini dipercayai diakibatkan oleh keretakan struktur ‘viaduct’ di kawasan tersebut.

Pihak Rapid Rail sekali lagi memohon maaf kepada semua penumpang yang terkesan dan berterima kasih diatas kesabaran para penumpang.

Language:

Search