_

OPERASI LORONG BAS JALAN AMPANG DIPERLUAS KE WAKTU PUNCAK PETANG MULAI 19 MEI

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, bas perantara LRT/MRT dan perkhidmatan Rapid KL On-Demand, dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, akan memperluaskan waktu operasi lorong bas Jalan Ampang ke waktu puncak petang bermula 19 Mei 2025. 

Operasi lanjutan ini akan berlangsung setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 4.30 petang hingga 7.00 malam. 

Pelaksanaan ini melibatkan jarak sepanjang 0.62 kilometer yang merangkumi kawasan-kawasan berikut: 

  • Persimpangan Jalan Memanda 1 hingga ke persimpangan Jalan Memanda 9 
  • Persimpangan Jalan Cengal hingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Wawasan Ampang 

 Perluasan waktu operasi ini akan memberi manfaat kepada penumpang beberapa laluan utama seperti laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang) dan laluan 303 (Hentian Mulia Jaya – Lebuh Ampang), selain laluan bas perantara dari kawasan Pandan Indah, Bukit Indah, Mulia Jaya dan Lembah Jaya. 

Sejak diperkenalkan pada 3 Julai 2023, lorong bas Jalan Ampang telah menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Statistik menunjukkan peningkatan purata penumpang harian daripada 12,819 kepada 14,424 orang, pertambahan sebanyak 12.52%. Selain itu, masa perjalanan penumpang juga telah berjaya dikurangkan antara 10 hingga 15 minit. 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, pihaknya yakin bahawa kelancaran perjalanan dan penjimatan masa yang dicapai hasil inisiatif ini akan terus menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada pengangkutan awam. Beliau turut menyeru semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan tidak menyalahgunakan lorong bas demi kepentingan bersama.

Penilaian prestasi lanjutan operasi ini akan dijalankan selama tiga bulan oleh Rapid Bus bersama JKR, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ke atas kedua-dua kawasan yang terlibat. Penilaian ini akan merangkumi aspek seperti masa perjalanan, kelajuan komersial bas, keselamatan jalan raya serta tahap kesesakan lalu lintas di kawasan terlibat.

Orang ramai disarankan untuk merancang perjalanan mereka menggunakan aplikasi PULSE yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store. Lokasi bas juga boleh disemak secara masa nyata menerusi aplikasi Google Maps.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh disalurkan melalui platform media sosial rasmi Rapid KL. 

Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App

Language:

Search