KUALA LUMPUR, 23 Disember 2024 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL akan melaksanakan inisiatif koc wanita di Laluan Ampang/Sri Petaling bermula 31 Disember 2024.
Laluan Ampang/Sri Petaling akan menjadi laluan ketiga di bawah kendalian Rapid Rail yang memperkenalkan kemudahan ini, selepas pelaksanaan projek perintis di Laluan Kajang pada 18 September 2023 dan Laluan Putrajaya pada 8 April 2024.
Inisiatif ini diperkenalkan bagi memberi pengalaman perjalanan yang lebih selesa kepada penumpang wanita, yang merupakan kira-kira 60% daripada keseluruhan pengguna perkhidmatan rel Rapid KL.
Dengan adanya koc wanita, diharapkan penumpang wanita dapat menikmati perjalanan yang lebih tenang tanpa rasa bimbang tentang keselamatan mereka.
Sejak pelaksanaan koc wanita di Laluan Kajang, bilangan kes gangguan tidak diingini telah menunjukkan penurunan sebanyak 22% sehingga November baru-baru ini. Laluan Putrajaya juga menyaksikan penurunan kes dengan ketara sebanyak 50% sejak pelaksanaan koc wanita ini April lalu.
Bagi memudahkan pengguna mengenalpasti koc wanita, sebanyak 36 stesen dan 45 tren di Laluan Ampang/Sri Petaling telah dipasang dengan pelekat khas berwarna merah jambu. Koc wanita di laluan ini terletak di bahagian tengah setiap tren di koc tiga dan koc empat.
Koc wanita ini boleh digunakan oleh penumpang wanita dari pelbagai peringkat umur, serta kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan ke bawah yang ditemani penjaga wanita. Manakala bagi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk penjaga diberikan keutamaan untuk menaiki mana-mana gerabak tren.
Pemantauan berkala akan dilaksanakan oleh polis bantuan di dalam tren dan di stesen, bagi memastikan etika penggunaan koc wanita dipatuhi oleh semua pengguna Rapid KL.
Rapid Rail menyeru kepada semua pengguna untuk terus menyokong inisiatif ini dan memohon agar pengguna wanita memanfaatkan sepenuhnya koc wanita terlebih dahulu, bagi memberi ruang kepada pengguna lain menggunakan koc biasa.