KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan Rapid KL On-Demand bakal memperkenalkan lima (5) buah zon baharu bermula 16 Jun 2025.
Zon-zon baharu ini akan menyediakan kesalinghubungan dengan perkhidmatan tren di Laluan Kajang dan Putrajaya seperti berikut:
Zon | Jumlah Van | Aplikasi Tempahan |
MRT Kwasa Sentral – Subang Bestari/Subang Skypark Terminal | 4 | Rapid On-Demand |
MRT Semantan – Menara DBKL | 2 | Rapid On-Demand |
MRT Metro Prima – Taman Beringin | 3 | Rapid On-Demand |
MRT Putrajaya Sentral – Presint 1 | 3 | Rapid On-Demand |
MRT Cyberjaya City Centre – Cyberjaya | 5 | Rapid On-Demand |
Selain memberikan sokongan kepada perkhidmatan tren Rapid KL, inisiatif peluasan zon kali ini juga bertumpu kepada kawasan yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi serta kawasan urbanisasi yang semakin berkembang. Ini adalah langkah Rapid Bus dalam menyediakan penyelesaian perjalanan “first-mile, last-mile” yang lebih fleksibel dan mudah.
“Dengan pengenalan lima zon kali ini, Rapid KL On-Demand yang menjadi sambungan ke Laluan Kajang dan Putrajaya adalah sebanyak 16 zon melibatkan 46 buah van. Secara keseluruhan di Lembah Klang pula, Rapid KL On-Demand telah beroperasi di 60 buah zon dengan 162 buah van. Selaras dengan komitmen kami terhadap mobiliti lestari serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, kami akan terus berusaha untuk memastikan perkhidmatan Rapid KL On-Demand ini lebih efisien dan menepati permintaan para pengguna,” ujar Amir Hamdan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Prasarana.
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6.00 pagi sehingga 11.30 malam. Dalam usaha menggalakkan lebih ramai pengguna memanfaatkan perkhidmatan ini, harga promosi RM1.00 bagi setiap perjalanan akan diteruskan dengan pilihan mod pembayaran:
- Kad Touch ‘n Go
- Kad debit atau kredit
- Kad Konsesi MyRapid
- Pas Perjalanan OKU Smile
- Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili)
Para pengguna boleh memuat turun aplikasi Rapid On-Demand secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store untuk membuat tempahan dengan mudah. Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my