Search
Close this search box.

_

MRT LALUAN PUTRAJAYA DIBUKA SEPENUHNYA

Perkhidmatan Dijangka Memanfaatkan Lebih 100,000 Penumpang Sehari

KUALA LUMPUR, 16 Mac 2023 – Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7km akan dibuka sepenuhnya pada jam 3 petang hari ini. Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Depoh MRT Serdang, pagi ini.

Pengoperasian penuh perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya dari stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral ini akan dikendalikan oleh Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), sebuah anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad.

Laluan MRT yang menghubungkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan kawasan sekitar Lembah Kelang ini dijangka akan mencatat jumlah penumpang harian yang melebihi 100,000 orang dalam tahun pertama pembukaannya.

Seiring dengan pembukaan penuh ini, perkhidmatan bas perantara akan dilancarkan bagi menyokong operasi. Perkhidmatan bas perantara MRT Laluan Putrajaya ini melibatkan 92 buah bas dan mempunyai sebanyak 31 laluan yang meliputi kira-kira 350km.

Bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan baharu ini, tambang percuma akan diberikan kepada penumpang yang masuk atau keluar di mana- mana 36 buah stesen di sepanjang laluan tersebut, termasuk perkhidmatan bas perantara bagi stesen-stesen MRT Laluan Putrajaya, selama dua minggu mulai jam 3 petang hari ini sehingga 12 tengah malam, 31 Mac 2023.

MRT Laluan Putrajaya mempunyai sebanyak 36 stesen, merangkumi 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah. Daripada jumlah itu, 10 stesen adalah stesen pertukaran atau sambungan, yang memudahkan penumpang dari Laluan Putrajaya untuk ke laluan-laluan rel sedia ada.

Sebanyak 17 stesen dilengkapi dengan kemudahan tempat letak kereta yang menyediakan sejumlah 5,878 petak parkir.

Pengoperasian perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya ini akan menggunakan sebanyak 49 buah tren 4-gerabak berkapasiti 1,200 orang dengan kekerapan 5 minit di waktu puncak dan 10 minit di luar waktu puncak. Tempoh perjalanan dari Putrajaya Sentral ke Kwasa Damansara mengambil masa 84 minit.

Ketersediaan jaringan pengangkutan awam ini juga dijangka akan menambahbaik lagi keadaan lalu lintas semasa, memberi nilai tambah kepada ekonomi setempat serta menggalak penggunaan pengangkutan awam ke arah sasaran 40% menjelang tahun 2030.

Language:

Search
Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App