Search
Close this search box.

_

MASALAH SISTEM KAWALAN TREN AUTOMATIK JEJAS PERKHIDMATAN LRT LALUAN KELANA JAYA

KUALA LUMPUR, 8 November 2022 – Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil telah mengakibatkan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya bermula pada hari Sabtu 5 November 2022. Ini telah menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KLCC dan Stesen Ampang Park serta tren berhenti lebih lama di platform. Ia juga telah mengganggu keseluruhan jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

Isu tersebut yang mula dikesan pada tengahari Sabtu telah dapat diselesaikan pada awal pagi Ahad 6 November. Namun demikian, masalah yang sama telah berulang pada hari Isnin 7 November.

Berikut adalah kronologi kejadian serta tindakan mitigasi yang telah diambil: –

  • Sabtu – 5 November 2022
    • Pada jam 10.34 pagi, salah satu peranti elektronik pada sistem ATC telah mengalami gangguan.
    • Pihak Pusat Kawalan Operasi (OCC) telah menjalankan penetapan semula (reset) pada komponen tersebut.
    • Sistem telah dipulihkan dengan pemantauan pasukan OCC dan teknikal.
  • Ahad – 6 November 2022
    • Setelah selesai waktu operasi pada tengah malam, pihak teknikal telah menjalankan kerja baikpulih dengan mengemaskini perisian pada sistem ATC.
    • Ujian telah dijalankan sebanyak tujuh (7) kali dan sistem didapati stabil.
    • Perkhidmatan beroperasi secara normal bermula jam 6 pagi.
  • Isnin – 7 November 2022
    • Pada jam 10.38 pagi, salah satu peranti elektronik pada sistem ATC sekali lagi telah mengalami gangguan.
    • Pada pukul 1.10 petang, perkhidmatan tren antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kelana Jaya telah dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada pihak teknikal untuk menjalankan kerja baik pulih sistem ATC.
    • Pada jam 8.39 malam, masalah yang sama telah dikesan yang menyebabkan perkhidmatan tergendala di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT KLCC.
    • Bagi memastikan keselamatan penumpang, pihak operator telah mengambil keputusan untuk menghentikan perkhidmatan di antara Stesen LRT Ampang Park dan Stesen LRT Kelana Jaya pada jam 10.15 malam. Keseluruhan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah ditamatkan lebih awal pada jam 11.15 malam.
    • Perkhidmatan bas perantara sehingga jam 1 pagi telah disediakan bagi menampung penumpang yang terjejas.
    • Stesen MRT Pasar Seni dan Stesen LRT Pasar Seni (Laluan Sri Petaling/Ampang) turut dilanjutkan operasi sehingga jam 1 pagi.

Pihak Rapid Rail telah menggerakkan anggota Polis Bantuan dan kakitangan sokongan bagi mengawal keadaan serta penumpang di platform dan stesen-stesen yang terlibat.

Setelah berakhirnya waktu operasi, pasukan jurutera dan teknikal, dibantu oleh pihak Thales Group di Canada selaku pengilang peralatan asal (OEM) telah menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar gangguan tersebut.

Setakat jam 5.30 pagi ini, pihak jurutera telah dapat menstabilkan sistem ATC itu dan perkhidmatan tren telah dimulakan. Namun, sebagai langkah keselamatan, sistem tersebut masih berada di dalam pemantauan bagi memastikan kestabilan berterusan.

Sebagai langkah sokongan dan sekiranya perlu, pihak Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan bas bagi menampung penumpang.

Keselamatan penumpang Rapid KL adalah menjadi keutamaan dan kami perlu mengambil kira semua aspek dalam mengambil sebarang keputusan bagi menangani isu luar jangka ini.

Untuk makluman, pihak Prasarana sedang dalam proses perlaksanaan penyelesaian yang menyeluruh untuk menukar sistem ATC secara keseluruhan dan ini dijangka akan dimuktamadkan dalam masa beberapa bulan lagi. Segala kesulitan yang dialami oleh para penumpang disebabkan oleh gangguan ini adalah amat dikesali dan kami memohon maaf atas gangguan perjalanan yang terpaksa ditempuhi oleh semua pengguna perkhidmatan Rapid KL.

Language:

Search