KUALA LUMPUR, 14 Mac – Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali kepada perkhidmatan MRT Laluan Kajang ingin memberi penjelasan mengenai komen yang dikongsi oleh pengguna “twitter” berkaitan frekuensi perkhidmatan MRT.
Kekerapan tren perkhidmatan MRT Laluan Kajang pada hari minggu iaitu Isnin hingga Jumaat adalah setiap 4 minit pada waktu puncak (7 pagi – 9 pagi) dan (5 petang – 7 petang). Manakala kekerapan di luar waktu puncak adalah setiap 12 minit. Frekuensi tren pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum adalah setiap 15 minit.
Namun begitu, kekerapan tren akan diselaras mengikut permintaan. Pihak operasi sentiasa memantau pergerakan penumpang dan langkah menambah tren akan dilakukan sekiranya terdapat pertambahan penumpang.
Lanjutan daripada pengumuman oleh YAB Perdana Menteri mengenai peralihan negara ke fasa endemik yang bermula pada 1 April 2022, Rapid KL akan menilai dan menyesuaikan kekerapan bagi memenuhi pertambahan penumpang.
Operasi stesen bermula dari jam 6 pagi setiap hari. Manakala waktu operasi stesen akan berakhir pada jam 11.25 malam hingga 12 tengah malam mengikut lokasi stesen. Masa penutupan stesen boleh disemak menerusi laman web myrapid.com.my atau rujuk di notis yang terdapat di stesen.
Bagi perkhidmatan bas perantara MRT, jadual perjalanan bas mungkin akan mengalami kelewatan bergantung kepada keadaan trafik khususnya pada waktu puncak. Selain itu, faktor cuaca dan banjir kilat yang melanda ibu kota sejak akhir- akhir ini menyebabkan pihak operasi terpaksa mengubah beberapa laluan bas dan menyebabkan kelewatan jadual perjalanan.
Pengguna disaran untuk memuat turun aplikasi PULSE bagi merancang perjalanan anda selain mendapatkan waktu ketibaan bas perantara MRT. Aplikasi ini membolehkan pengguna mengetahui lokasi bas secara langsung (“real time“). Mereka yang tidak menggunakan aplikasi PULSE boleh mengimbas kod QR yang terdapat di perhentian bas untuk tujuan yang sama
Rapid KL menyeru kepada pengguna yang menghadapi sebarang kesulitan atau ada sebarang pertanyaan sila hubungi talian khidmat pelanggan di 03-78852585.