KUALA LUMPUR, 13 MAC 2025 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali kepada perkhidmatan rel Laluan Kelana Jaya ingin mengesahkan berlaku gangguan teknikal pada sebuah tren bernombor 84 di Stesen Abdullah Hukum pada 12 Mac 2025.
Insiden yang tular di media sosial dilaporkan pada jam 10.43 malam tadi, berpunca daripada kerosakan pada komponen pemasangan pengumpul kuasa pada tren.
Impak daripada insiden tersebut terdapat kepulan asap kecil dan bunyi dentuman.
Pegawai transit yang sedang bertugas di dalam tren tersebut telah bertindak pantas mengikut piawaian standard operasi dengan meminta semua penumpang turun di Stesen Abdullah Hukum dan perkhidmatan tren alternatif telah diaktifkan bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi. Tiada sebarang kecederaan melibatkan penumpang dilaporkan.
Tren yang mengalami kerosakan tersebut telah dihantar pulang ke depoh penyelenggaraan untuk siasatan lanjut.
Bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang, pihak jurutera Rapid Rail telah mempertingkatkan pemeriksaan pada semua tren yang beroperasi di Laluan Kelana Jaya untuk memastikan kebolehpercayaan perkhidmatan tren sentiasa berada ditahap yang optimum dan selamat.
Selain itu, pemantauan yang lebih kerap turut dijalankan oleh pegawai transit terutama di dalam tren ketika waktu puncak.
Rapid Rail memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh penumpang semasa insiden tersebut dan akan terus melakukan penambahbaikan bagi memastikan perjalanan penumpang Rapid KL selamat, selesa dan lancar.