Search
Close this search box.

_

MAKLUMBALAS MEDIA MENGENAI ISU DI STESEN LRT JELATEK DAN STESEN LRT KLCC

KUALA LUMPUR, 15 November 2022 – Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali kepada perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya ingin memberi penjelasan mengenai laporan beberapa saluran media serta ciapan di media sosial tentang keluhan pengguna di Stesen LRT Jelatek dan KLCC.

Kami ingin menjelaskan sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang menyebabkan penggantungan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya minggu lalu, adalah stabil dan berfungsi dengan selamat.

Kesesakan Di Stesen LRT Jelatek

Tren bernombor 59 terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan kira-kira pada jam 8.19 pagi, setelah pihak pusat kawalan (OCC) mengesan tren tersebut mengalami masalah mekanikal berkaitan dengan isu tachometer yang dalam proses penggantian dan penambahbaikan.

Penumpang telah diminta turun di Stesen LRT Jelatek dan diminta mendapatkan tren yang seterusnya. Menurunkan penumpang adalah sebahagian daripada prosedur operasi Rapid Rail bagi memastikan keselamatan kelancaran operasi tren.

Proses mengeluarkan tren daripada perkhidmatan mengambil masa kira-kira 3 minit dan pelarasan semula kekerapan tren mengambil masa 10 minit. Sementara menunggu tren berikutnya tiba, berlaku sedikit kesesakan di platform disebabkan jumlah penumpang yang tinggi pada waktu puncak pagi.

Tren gantian bernombor 54 telah dimasukkan bagi mengekalkan kekerapan tren selama 5 minit, manakala tren yang mengalami masalah tersebut telah dibawa ke depoh penyelenggeraan Rapid Rail di Subang bagi pemeriksaan lanjut.

Program penggantian ‘tachometer’ ini telah pun bermula dan Rapid Rail sedang dalam proses penerimaan ‘tachometer’ yang telah ditempah dan akan diterima secara berkala dari sekarang sehingga pertengahan tahun 2023. Kami sedang berunding dengan pihak pembekal bagi mempercepatkan penghantaran.

Pintu Platform di Stesen KLCC

Rapid Rail mengesahkan bahawa terdapat tiga pintu yang mempunyai masalah ketika tren bernombor 10 tiba di stesen KLCC. Kegagalan ini dilaporkan berlaku pada jam 7.53 pagi tadi.

Kami mendapati pintu platform berfungsi secara normal pada tren-tren lain. Pihak operasi telah mengeluarkan tren tersebut untuk menjalani pemeriksaan lanjut di Depoh Subang.

Rapid Rail akan menjalankan pemeriksaan dan ujian terhadap terhadap sistem komunikasi antara pintu tren dan pintu di platform selepas waktu operasi tamat pada hari ini. Ini bagi mengenal pasti punca dan seterusnya membaiki masalah tersebut.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang mula beroperasi sejak tahun 1998, sedang dalam proses menaiktaraf menyeluruh bagi beberapa sistem, komponen dan infrastruktur Program ini sedang dalam proses dilaksanakan dan akan diselesaikan secara berperingkat.

Kami ingin memberi jaminan bahawa keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan. Rapid Rail memohon maaf diatas gangguan yang berlaku dan ketidaksenangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan kami.

Language:

Search