Search
Close this search box.

_

LRT LALUAN KELANA JAYA AKAN DIBUKA SEPENUHNYA PADA 14 NOVEMBER 2022

Ujian keselamatan dan kestabilan mendapat kelulusan

KUALA LUMPUR, 13 November 2022 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), operator perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang, akan membuka keseluruhan jajaran LRT Laluan Kelana Jaya bermula jam 6 pagi Isnin 14 November 2022, dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan, setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Berdasarkan analisa keatas ujian meluas yang dijalankan pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM Thales Group, APAD telah mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya.

En. Mohd Azharuddin Mat Sah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad berkata kelulusan yang diberikan adalah satu berita yang amat dialu-alukan setelah sebahagian daripada LRT Laluan Kelana Jaya digantung perkhidmatannya.

“Kami berterima kasih kepada APAD dengan kelulusan yang telah diberikan untuk menyambung operasi LRT Laluan Kelana Jaya. Kini kami boleh kembali memberi perkhidmatan sebaiknya kepada seluruh warga kota. Pemantauan sistem akan diteruskan bagi memastikan ia kekal stabil agar perkhidmatan dapat dijalankan dengan selamat.”

“Kami sekali lagi menekankan bahawa keputusan yang diambil adalah demi keselamatan pengguna. Pembukaan penuh perkhidmatan lebih awal daripada jadual ini diharap dapat mengurangkan kesulitan yang telah dilalui oleh pengguna pengangkutan awam, khususnya mereka yang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya.”

Pampasan Kepada Pengguna LRT

Sebelum ini, pihak Rapid Rail telah mengumumkan pemberian tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.

Sebahagian perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah digantung selama lima (5) hari, namun pengguna akan diberi perjalanan percuma selama tujuh (7) hari. Ini akan dilaksanakan seperti berikut*: –

  • Pengguna My50

    a. Pengguna akan diberi tambahan perjalanan percuma selama tujuh (7) hari apabila memperbaharui pas My50 setelah tamat tempoh. Pembaharuan boleh dilakukan bermula 21 November hingga 20 Disember 2022.

    b. Pengguna perlu kemana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT dan Pegawai Khidmat Pelanggan akan membuat pengesahan.

    c. Bagi pelanggan pas My50 yang tamat tempoh di antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November 2022, boleh menggunakan pas seperti biasa tanpa sebarang caj. Sila pastikan sekurang-kurangnya RM5.00 nilai tersimpan dikekalkan di dalam pas.
  • Pengguna Kad Touch ‘n Go

    a. Pengguna kad Touch ‘n Go yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya boleh menggunakan kad seperti biasa tanpa sebarang caj di antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November 2022 dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya.

    b. Sila pastikan sekurang-kurangnya RM5.00 nilai tersimpan dikekalkan di dalam kad.
  • Pengguna Token

    a. Semua pengguna yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya dari Isnin 14 November sehingga Ahad 20 November layak untuk menikmati tambang percuma.

    b. Pengguna perlu kemana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala, dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya.

*Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami di suggest@rapidkl.com.my atau hubungi kami di 03-7885 2585 pada hari Isnin hingga Jumaat, dari 7.00 pagi hingga 8.30 malam, Sabtu hingga Ahad dan Cuti Umum dari 7.00 pagi hingga 5.30 petang.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua diatas kesabaran anda ketika tempoh yang sangat mencabar ini. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menghulurkan bantuan dan sokongan terutama sekali pihak Smart Selangor, MARA Liner, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga rakyat Malaysia yang telah memberi bantuan kepada penumpang-penumpang yang terjejas,” tambah En. Azharuddin.

Prasarana dan Rapid Rail sekali lagi memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya. Segala usaha akan diambil bagi memastikan gangguan seumpama ini tidak akan berulang.

Language:

Search