Search
Close this search box.

_

LEMBAGA PENGARAH PRASARANA PUNYAI KEYAKINAN PENUH TERHADAP MASNIZAM

KUALA LUMPUR, 26 Julai -Lembaga Pengarah Kumpulan Prasarana menolak dakwaan bahawa tempoh perkhidmatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Puan Masnizam Hisham dijangka tamat pada masa terdekat ini ataupun dia telah meletak jawatan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pihak Lembaga menyatakan keyakinan dengan Masnizam, dan kepimpinan beliau dalam menguruskan Prasarana dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak memegang tampuk pengurusan pada 18 Januari, 2018.

Sentiasa gigih dalam kerjanya, Masnizam memulakan beberapa langkah inovatif selaras dengan program-program penjimatan kos dan penambahan hasil di bawah satu inisiatif baru bergelar ‘Mencipta Prasarana 2.0’.

Sejak mula menyertai Prasarana sebagai Ketua Jabatan Perundangan pada 2004 dan seterusnya dinaikkan pangkat secara merit kepada Ketua Jabatan Perolehan Kumpulan, Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik; dan Pengarah Divisyen Perkhidmatan Infrastruktur; dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management and Engineering Services (PRIME), Masnizam mempamerkan kecemerlangan dalam tugasan beliau, yang dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan kegigihan, yang mendapat sanjungan daripada pihak Lembaga.    

Pihak Lembaga turut menyatakan rasa kesal dengan laporan-laporan media; yang mana pihak Lembaga merasakan adalah berniat tidak baik dan tidak wajar khususnya tanpa menamakan sumber yang sahih dan juga ketika Prasarana sedang mengambil pelbagai inisiatif transformasi demi kepentingan Syarikat khususnya untuk projek LRT Laluan 3 (LRT3).

Pengurusan kanan Prasarana pada Jumaat lepas telah mengemukakan kepada pihak Lembaga satu laporan terperinci tentang projek LRT3; yang mana telah dihantar kepada Menteri Kewangan untuk memberikan perspektif penuh projek berkenaan. 

Dalam surat kepada Menteri Kewangan, Prasarana menegaskan bahawa ia akur dengan sebarang keputusan pihak Kementerian dalam menyiapkan projek ini demi kepentingan rakyat dan meningkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang. 

Selepas mengambil alih sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, pihak Lembaga telah meminta Masnizam untuk membuat laporan kepada Ketua Pegawai Integriti Kumpulan, yang merupakan pegawai yang dipinjamkan daripada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC) untuk menyiasat sebarang anomali dalam prosedur perolehan untuk projek berkenaan.

Language:

Search