Search
Close this search box.

_

LEBIH 2000 PELARI MENYUSURI TREK LALUAN BRT BAGI BRT RUN 2023

SUBANG JAYA, 26 November 2023 – Lebih daripada 2000 orang peserta telah menyemarakkan malam di Bandar Sunway ketika acara BRT Run 2023 yang berlangsung pada malam tadi, yang menawarkan hadiah sehingga RM9,200.

Acara larian tahunan tersebut, anjuran Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), telah menyaksikan penyertaan pelari-pelari bukan sahaja dari dalam negara, malah turut disertai pelari-pelari antarabangsa termasuk dari New Zealand, Perancis, China, Jepun, Vietnam, Brunei, Hong Kong, dan Switzerland.

BRT Run adalah acara larian tahunan yang berlangsung di atas trek BRT Sunway di Bandar Sunway. Hujan yang turun semalam tidak mampu menghalang semangat peserta untuk merasai pengalaman unik berlari di atas laluan bertingkat BRT yang ditutup khas bagi larian tersebut.

Acara pelepasan peserta larian telah dilaksanakan pada jam 10 malam oleh Dr. Harigaran Bharatham, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Prasarana, Muhammad Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus dan Ku Jamil Zakaria, Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus.

BRT Run 2023 merupakan kali keempat acara tersebut dijalankan. Jumlah penyertaan pada tahun ini adalah lebih daripada dua kali ganda daripada jumlah penyertaan pada tahun 2022.

Acara tahun ini tampil dengan tema neon dan terbahagi kepada lima kategori iaitu kategori 10 km terbuka lelaki dan perempuan, 10 km antarabangsa lelaki dan perempuan, serta Fun Run 5 km.

Juara bagi kategori 10 km terbuka lelaki dimenangi oleh Prabudass Krishnan manakala bagi kategori 10 km terbuka perempuan dimenangi oleh Michelle Chua.

Kategori 10 km antarabangsa lelaki dimenangi oleh Mahadev Rijal dari Nepal, manakala Nguyet Dang dari Vietnam menjadi juara bagi 10 km antarabangsa wanita.

Selain itu, cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik turut diadakan.

 
 
 

Language:

Search