Rapid Bus berganding bahu dengan DBKL perkenal ‘tidal flow lanes’
KUALA LUMPUR, 27 Mei 2023 – Berita baik buat pengguna perkhidmatan Rapid Bus! Ekoran pengumuman inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi menangani masalah kesesakan jalan raya, Rapid Bus Sdn Bhd (“Rapid Bus”) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (“DBKL”) akan melancarkan laluan kontra (“tidal flow lanes”) mulai 3 Julai 2023 di Koridor Ampang melibatkan laluan di Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak.
Bukti konsep (“Proof of Concept – POC”) laluan kontra bagi perkhidmatan ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, dan akan melibatkan tiga (3) laluan, iaitu: –
- Laluan 300 (Pandan Indah – Lebuh Ampang),
- Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang)
- DS01 (LRT Ampang – Ampang Park/KLCC).
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, “Kami di Rapid Bus senantiasa berusaha untuk mempertingkatkan pengalaman penumpang kami. Salah satu komponen yang agak kritikal adalah memastikan agar bas kami tiba di hentian mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sahutan daripada pengumuman kerajaan dalam inisiatif penambahbaikan perkhidmatan bas ini, kami mensasar untuk mempertingkat mutu perkhidmatan bas Rapid KL dan seterusnya menaikkan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada orang awam.”
Dengan adanya satu laluan sementara yang dibuka khas untuk pengangkutan bas awam sahaja, pada waktu puncak pagi dan petang, ianya akan memastikan kekerapan bas yang lebih tepat, sekaligus memendekkan masa menunggu para penumpang.
Yazurin turut menambah, “Laluan kontra ini akan mengelakkan bas-bas kami daripada tersekat di dalam kesesakan trafik, yang selalunya menjadi punca utama kelewatan tiba di hentian mereka. Kami berharap lebih ramai penduduk di sekitar Ampang akan menggunakan perkhidmatan bas sebagai pilihan utama mereka untuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur. Jimat, cepat dan mudah.”