KUALA LUMPUR, 12 September – Projek eksperimen Rapid KL menggunakan bas midi di laluan-laluan strategik diperluaskan dengan Laluan T304 antara has bas Bukit Indah dan Ampang Point menjadi laluan percubaan kedua selepas Laluan T300, yang bermula pada 1 September lepas.
Seperti yang dilaksanakan untuk Laluan T300, projek eksperimen ini akan berlangsung selama tiga bulan bermula 15 September ini dan menggunakan bas yang berukuran 8.9 meter panjang berbanding dengan bas yang digunakan sekarang untuk laluan berkenaan adalah sepanjang 12 meter.
Mengumumkan perkara ini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Encik Muhammad Yazurin Sallij berkata projek eksperimen Laluan T304 itu akan menggunakan lima unit bas termasuk satu bas mesra OKU, yang akan memaparkan pelekat besar berwarna biru untuk pengenalan golongan OKU yang ingin menggunakannya.
“Kami berharap untuk mengumpul sebanyak data dan maklumbalas sebanyak mungkin bagi membantu Rapid KL dalam membuat keputusan berhubung kemungkinan menggunakan bas midi untuk laluan-laluan tertentu khususnya untuk Laluan T304, yang kami rasakan sesuai untuk digunakan bas midi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan lima bas dalam perkhidmatan, Laluan T304 akan mempunyai kekerapan 14 minit untuk waktu puncak dan 26 minit untuk waktu bukan puncak; berbanding dengan 20 minit untuk waktu puncak sekarang dan 30 minit untuk waktu bukan puncak.
“Nyata, penggunaan bas midi untuk laluan ini akan memberikan jangka masa menunggu yang lebih pendek untuk para penumpang. Apapun, ini adakah satu eksperimen dan pihak Rapid KL akan membuat keputusan yang sebaik mungkin berdasarkan kepada data-data dan maklum balas yang diterima termasuk tentang keselesaan bas yang digunakan. Perlu ditegaskan ini bukanlah model bas sebenarnya yang kami akan gunakan.
“Dan, seperti yang saya tegaskan pada pelancaran Laluan T300, projek eksperimen bas midi ini adalah untuk memantapkan kesinambungan perjalanan atau ‘connectivity’ untuk ‘first mile, last mile’. Dengan pemantapan ‘connectivity’ ini, Rapid KL berharap lebih ramai lagi orang ramai akan menggunakan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas,” kata Muhammad Yazurin.
Selain dua laluan ini, Encik Muhammad Yazurin berkata Rapid KL akan memanjangkan eksperimen ini untuk laluan-laluan strategik tempatan lain khususnya laluan-laluan yang melalui jalan-jalan sempit di kawasan-kawasan penempatan tinggi.