Search
Close this search box.

_

KHIDMAT KAUNSELING UNTUK PENUMPANG TERBABIT DALAM INSIDEN PELANGGARAN TREN

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengatur untuk para penumpang dan anggota keluarga yang terlibat dalam insiden pelanggaran tren LRT dalam terowong antara Stesen KLCC dan Kg. Baru pada malam 24 Mei lepas untuk mendapatkan khidmat kaunseling pada bila-bila masa.

Disediakan oleh Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia semalam (31 Mei), khidmat yang ditawarkan adalah tidak terhad kepada satu sesi sahaja, tetapi sebaliknya untuk seberapa yang diperlukan untuk pemulihan daripada tekanan perasaan dan trauma kerana insiden berkenaan.

“Mereka hanya perlu menghubungi Prasarana untuk aturkan temujanji dan bertemu kami pada bila-bila masa. Kita boleh buat satu sesi, atau sebanyak mana sesi yang diperlukan oleh mangsa,” kata Penolong Pengarah Kanan bahagian berkenaan, Puan Nuridawati Mohd Noor yang mengetuai sepasukan kaunselor pada sesi penyerahan sumbangan wang ehsan atau ‘goodwill payments’ kepada para penumpang terbabit.

Diadakan di Stesen LRT Dang Wangi di sini hari ini, seramai 31 penumpang terbabit hadir pada majlis berkenaan untuk mengambil sumbangan berkenaan. Prasarana akan meneruskan usaha untuk menyampaikan bantuan kepada semua penumpang yang terbabit.

“Setakat ini, pihak kami telah dapat menghubungi 136 daripada 213 penumpang yang terlibat dalam insiden berkenaan. Wang ehsan ini akan disumbangkan kepada semua yang terlibat.

“Kami sedang giat berusaha menghubungi baki 77 penumpang yang setakat ini belum dapat dikesan. Pihak kami berharap mereka yang berkenaan untuk segera menghubungi Prasarana agar kami dapat menyalurkan bantuan. Mereka boleh menghubungi nombor khas 014-7371330 atau emel recovery2021@prasarana.com.my untuk tujuan ini dan untuk urusan kaunseling,” kata Prasarana dalam satu kenyataan hari ini.

Language:

Search