Search
Close this search box.

_

KHABAR GEMBIRA BUAT PENGGUNA MONOREL RAPID KL

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Perkhidmatan monorel Rapid KL, yang kini beroperasi dengan lima set tren empat-gerabak dan lima set dua-gerabak, akan memperkenalkan set tren empat-gerabak yang keenam pada awal tahun depan; sekali gus menjanjikan para penumpang perjalanan yang lebih selesa dan waktu menunggu yang lebih singkat.

Tren berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada baki tujuh set tren empat-gerabak baru yang dibekalkan oleh Scomi Transit Projects Sdn Bhd (STP), sudah berada di Depoh Monorel di Brickfields dan kini sedang menjalani proses pemeriksaan dan pemasangan komponen-komponen penting di depoh berkenaan sebelum menjalani proses ujian dan persijilan daripada badan-badan berwajib.

Dijadualkan sedia untuk operasi pada bulan Mac 2021, Prasarana berharap untuk segala urusan pemasangan dan kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan untuk tren keenam itu dapat dilaksanakan lebih awal lagi dengan semua pihak yang terlibat dalam projek berkenaan melipatkan gandakan usaha masing-masing demi kepentingan para pengguna perkhidmatan monorel.

Kerja-kerja pemasangan komponen untuk tren berkenaan turut disaksikan hari ini oleh Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman, yang meneruskan program familiarisasi operasi anak-anak syarikat dengan tinjauan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan perkhidmatan monorel dan perkembangan projek penambahan tren monorel.

Diiringi oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Encik Muhammad Nizam Alias, program lawatan kerja itu turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Encik Abdul Hadi Amran dan Ketua Penasihat Teknikal Kumpulan, Datin Norlia Noah, yang bertanggungjawab untuk projek penambahan tren empat-gerabak itu.

Prasarana dan STP memeterai perjanjian peroleh dan baik pulih tren di bawah perkhidmatan Rapid KL Laluan Monorel pada April tahun lepas; di mana menerusi perjanjian itu, STP akan membaik pulih lima set tren empat gerabak yang dihentikan perkhidmatan sejak Januari 2018 bagi tujuan modifikasi/penambahbaikan selain membekalkan tujuh lagi set tren yang baharu dalam tempoh 18 bulan.

Kelima-lima tren untuk kumpulan pertama itu telah dapat disediakan dua bulan lebih awal daripada jadual dengan dua buah tren telah mulakan operasi pada 16 Ogos 2019 dan baki 3 buah tran pada 16 September 2019. Projek untuk baki tujuh tren bermula pada 12 Jun lepas dengan tren yang terakhir dijadualkan siap untuk operasi pada bulan Disember tahun hadapan.

Selain meningkatkan kapasiti khususnya ketika waktu puncak pagi dan petang, tren monorel empat-gerabak baharu berupaya meningkatkan lagi keselesaan para penumpang, di samping mengekalkan kekerapan tren pada purata lima minit. Sementara tren dua-gerabak mempunyai kapasiti 214 penumpang, tren empat-gerabak boleh memuatkan sehingga 430 penumpang.

Dengan rangkaian sepanjang 8.6km dan 11 stesen yang strategik di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, perkhidmatan monorel, yang dikendalikan oleh Rapid Rail, memberikan keselesaan kepada warga kota untuk bergerak tanpa terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas sambil dapat menikmati keindahan bandaraya Kuala Lumpur.

Pada program lawatan kerja hari ini, Dato’ Sri Haji Tajuddin turut berkesempatan meninjau perkembangan projek Riveria City, yang terletak bersebelahan dengan Stesen Monorel Tun Sambanthan dan merupakan salah satu daripada lapan projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), yang dikendalikan oleh anak syarikat Kumpulan Prasarana, PRIDE atau Prasarana Integrated Development Sdn Bhd.

Language:

Search