_

KERJASAMA RAPID BUS DAN JABATAN KERJA RAYA PERLUAS LORONG BAS DI JALAN AMPANG

KUALA LUMPUR, 16 Februari 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan bas perantara MRT akan memperluaskan kemudahan lorong bas sedia ada di Jalan Ampang dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor.

Lorong bas ini mula diperkenalkan pada 3 Julai 2023 meliputi jarak sepanjang 3.0 kilometer. Bermula 17 Februari 2025, jarak lorong bas akan ditambah sepanjang 1.0 kilometer. Pertambahan jarak ini melibatkan dua seksyen iaitu;

  • Seksyen A: Susur masuk ke Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH) sehingga Persimpangan Jalan Mamanda 1, dan bersambung dengan lorong bas Jalan Ampang yang sedia ada.
  • Seksyen B: Dari hentian bas Bandar Baru Ampang/ Persimpangan Jalan Wawasan Ampang sehingga susur keluar Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE).

Rapid Bus dan JKR akan menjalankan penilaian selama tiga bulan melibatkan beberapa aspek seperti masa perjalanan dan kesesakan lalu lintas di seksyen yang dinyatakan di atas. Operasi lorong bas bermula dari jam 6.00 pagi hingga jam 9.00 pagi, Isnin hingga Jumaat sahaja.

Dua laluan utama perkhidmatan bas yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini adalah laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang) serta laluan 303 (Hentian Mulia Jaya – Lebuh Ampang) dan beberapa laluan bas perantara dari sekitar Pandan Indah, Bukit Indah, Mulia Jaya serta Lembah Jaya.

Lorong bas ini merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan turut disokong oleh Jawatankuasa Kabinet yang ditubuh bagi menangani kesesakan lalu lintas dan dipengerusi oleh Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Kementerian Pengangkutan selaku sekretariat utama.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria dalam kenyataannya berkata, sejak pengenalan lorong bas di Jalan Ampang pada 3 Julai 2023, masa perjalanan bas telah berjaya dikurangkan antara 10 minit hingga 15 minit.

Pelaksanaan lorong bas di Jalan Ampang telah mencatatkan pertambahan penumpang yang memberangsangkan. Sehingga kini, purata jumlah penumpang harian adalah sebanyak 14,631 penumpang sehari iaitu peningkatan sebanyak 14.14 peratus berbanding 12,819 penumpang sebelum pelaksanaannya.

”Kami berharap dengan manfaat kelancaran operasi dan penjimatan masa perjalanan dapat menarik lebih ramai lagi warga kota untuk beralih menggunakan pengangkutan awam. Selain itu, Rapid Bus menyeru pengguna jalan raya untuk menghormati lorong bas serta tidak menyalahgunakan lorong tersebut,” ujar Ku Jamil.

Para pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, serta boleh menyemak lokasi bas menerusi aplikasi Google Maps. Sebarang bantuan atau cadangan boleh berhubung menerusi platform media sosial Rapid KL.

Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App

Language:

Search