Search
Close this search box.

_

KERJASAMA ANTARA RAPID BUS DAN DBKL BAGI MELANCARKAN PERJALANAN BAS DI JALAN AMPANG

Projek Percubaan Lorong Bas bermula Isnin, 3 Julai 2023

KUALA LUMPUR, 30 Jun 2023 – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan bas perantara MRT, akan mula melaksanakan projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hari Isnin, 3 Julai 2023.

Lorong bas tersebut akan bermula dari persimpangan Jalan Rhu sehingga ke persimpangan Jalan Tun Razak dan akan melibatkan 34 buah bas dari dua (2) laluan, iaitu laluan 300 (Pandan Indah – Lebuh Ampang) dan laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang).

Projek percubaan ini secara langsung diharapkan akan menjadi pemangkin bagi peralihan mod perjalanan, sekali gus membantu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kritikal di Jalan Ampang.

Lorong bas ini akan beroperasi pada waktu puncak pagi, iaitu dari jam 6:00 pagi sehingga jam 9:00 pagi, Isnin hingga Jumaat dan dijangka akan memberi manfaat kepada komuniti sekitar koridor Jalan Ampang yang ingin memasuki pusat bandaraya untuk bekerja.

“Dengan adanya lorong bas ini, perkhidmatan bas Rapid KL akan lebih lancar dan boleh menjimatkan masa perjalanan sehingga 20 minit jika dibandingkan dengan menggunakan kenderaan awam. Perkhidmatan bas di Jalan Ampang ini, bukan sahaja membawa penumpang ke KLCC, namun menghubungkan para penumpang ke mod pengangkutan awam yang lain untuk ke destinasi akhir. Perjalanan akan bertambah selesa dengan penggunaan bas dua tingkat yang baru dan selesa serta dengan adanya kemudahan Park n Ride. Kami ingin menggalakkan komuniti di Ampang untuk mencuba kemudahan yang disediakan ini agar pengangkutan awam dapat menjadi mod perjalanan utama mereka,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij.

Yazurin turut menambah, “Kesesakan dapat dikurangkan sekiranya berlaku pertukaran mod dari kenderaan awam ke bas di mana sebuah bas dua tingkat boleh memuatkan seramai 110 orang yang bersamaan dengan lebih 50 buah kereta yang hanya boleh memuatkan 1-2 orang penumpang pada satu-satu masa.”

Komuniti sekitar Ampang yang ingin menggunakan perkhidmatan bas boleh memanfaatkan kemudahan Park n Ride di LRT Ampang, yang mengenakan kadar meletak kereta hanya RM4.30 sahaja sehari. Perkhidmatan bas laluan 300 dan 303 yang akan membawa penumpang ke pusat bandaraya boleh didapati di hentian bas bersebelahan dengan LRT Ampang tersebut.

Perjalanan para penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas laluan 300 dan 303 ini tidak hanya terhad untuk ke destinasi di hentian-hentian bas ini sahaja. Mereka boleh meneruskan perjalanan lebih jauh dengan kesalinghubungan yang boleh mereka nikmati termasuk:

• LRT Ampang Park/ LRT KLCC/ LRT Dang Wangi/ LRT Masjid Jamek: boleh meneruskan perjalanan ke Putra Heights atau Gombak dengan menaiki LRT Laluan Kelana Jaya;

• MRT Ampang Park: boleh meneruskan perjalanan ke Putrajaya atau Kwasa Damansara dengan menaiki MRT Laluan Putrajaya;

• Monorel Bukit Nanas: boleh meneruskan perjalanan ke Titiwangsa atau KL Sentral dengan menaiki Monorel KL;

• LRT Masjid Jamek: boleh meneruskan perjalanan ke Putra Heights atau Sentul Timur dengan menaiki LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling;

• KLCC juga menawarkan kesalinghubungan dengan perkhidmatan bas GoKL yang boleh membawa penumpang ke sekitar pusat bandaraya.

Para pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari laman web rasmi Rapid KL di https://www.myrapid.com.my untuk maklumat terkini.

Language:

Search