Search
Close this search box.

_

KERJA-KERJA BAIK PULIH AKIBAT GANGGUAN SUIS DI LANDASAN LRT LALUAN KELANA JAYA TELAH SELESAI

KUALA LUMPUR, 5 Januari 2023 – Rapid Rail selaku pengendali perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah selesai menjalankan kerja-kerja baikpulih akibat gangguan suis pada landasan pada jam 6.42 petang tadi dan perkhidmatan telah pun kembali pulih. Fungsi suis landasan ini adalah membolehkan tren menukar laluan dari satu landasan ke landasan bersebelahan.

Gangguan suis tersebut telah menyebabkan kesemua tren bergerak perlahan dan menjejas jadual perjalanan penumpang. Kejadian pertama yang berlaku pada 4.24 petang menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KL Sentral dan Stesen Pasar Seni manakala gangguan kedua telah berlaku di antara Stesen Damai dan Stesen Dato’ Keramat pada jam 5.26 petang.

Pasukan teknikal telah dikerah sejurus gangguan berlaku bagi menjalankan kerja – kerja baik pulih. Pihak operasi telah mengaktifkan pelan laluan alternatif dengan menggunakan satu landasan.

Perkhidmatan bas perantara telah disediakan bagi menampung jumlah penumpang, melibatkan enam stesen iaitu dari Stesen KLCC hingga Stesen Setiawangsa sebagai pengangkutan alternatif.

Kakitangan operasi dan Polis Bantuan juga telah ditempatkan di stesen bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas. Pengumuman telah dibuat menerusi media sosial Rapid KL dan di semua stesen LRT untuk makluman penumpang.

Pihak Rapid Rail memohon maaf kepada penumpang yang mengalami kesulitan yang dialami.

Language:

Search