KUALA LUMPUR, 21 November – Stesen integrasi Pasar Seni menjadi saksi kepada pelancaran kempen nasional ‘Buy Malaysia’s First’ atau Belilah Buatan Malaysia, yang diharapkan mencetus kecenderungan baru di kalangan rakyat tempatan untuk dahulukan produk-produk keluaran Malaysia.
Dilancarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, YB Haji Khalid Bin Samad, kempen berkenaan dianjurkan oleh Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia, yang berharap penggunaan stesen Pasar Seni yang bertrafik tinggi dapat membuka mata orang ramai khususnya para pelancong asing terhadap kehebatan barangan keluaran Malaysia.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada majlis berkenaan, GMB Malaysia berkata kempen BBM adalah inisiatif untuk membantu usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan memasar produk dan perkhidmatan mereka.
Kempen BBM berkenaan merangkumi aktiviti atas talian (online) dan offline di seluruh Malaysia dan bermula dari November 2018 hingga Disember 2020 dipenuhi dengan berbagai program keusahawanan seperti karnival, ‘fun run’, ‘sales run’ dan ‘showcase’ di tapak-tapak sementara seperti stesen-stesen MRT dan LRT.
Kempen BBM ini bertujuan untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia dan menggunakan perkhidmatan syarikat Malaysia di samping untuk mewujud dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti barang dan perkhidmatan yang ditawarkan di Malaysia adalah setaraf dengan piawaian antarabangsa.
Ia juga bertujuan untuk menambah visibliti produk-produk jenama Malaysia dengan berada di lokasi strategik yang dikunjungi ramai; dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan.