Search
Close this search box.

_

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MENGAMBIL MAKLUM KEMAJUAN PELAKSANAAN 23 INISIATIF PENAMBAHBAIKAN LRT LALUAN KELANA JAYA, MAHU PRESTASI DIPERTINGKATKAN SECARA MENYELURUH

PUTRAJAYA, 25 Mei – Kementerian Pengangkutan, yang diberi taklimat hari ini mengenai kemajuan pelaksanaan 23 inisiatif penambahbaikan untuk Laluan Kelana Jaya, mengambil maklum tentang usaha gigih Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana); tetapi mahu operator pengangkutan awam itu untuk melakukan tindakan secara menyeluruh bagi memantapkan prestasi ekoran beberapa insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini. 

Tindakan secara menyeluruh itu melibatkan: 

i. Pelaksanaan audit Reliability, Availability, Maintainability and Safety (RAMS) untuk menyediakan laporan terperinci yang merangkumi cadangan penambahbaikan secara menyeluruh; 

ii. Penglibatan perunding pakar rel terkemuka antarabangsa seperti WSP Engineering Sdn. Bhd dan Bombardier selaku pembekal atau Original Equipment Manufacturer (OEM) untuk melakukan kajian ke atas insiden-insiden yang berlaku baru-baru ini; dan 

iii. Penubuhan pasukan khas untuk memberi tumpuan sepenuhnya bagi meneliti, merangka dan melaksanakan penambaikan secara menyeluruh. 

1.0 PELAKSANAAN 23 INISIATIF LALUAN KELANA JAYA 

Kementerian Pengangkutan mengikuti rapat pelaksanaan 23 inisiatif penambahbaikan susulan daripada insiden pelanggaran tren LRT dalam terowong Laluan Kelana Jaya pada tahun lepas.

“Setahun lepas, pada malam 24 Mei 2021, sejarah hitam tercatat apabila dua tren LRT bertembung di dalam terowong bawah tanah antara Stesen KLCC dan Stesen Kg Baru, yang melibatkan 139 penumpang; dengan lapan mengalami kecederaan parah. Susulan daripada insiden berkenaan, Jawatankuasa Siasatan telah mencadangkan 23 inisiatif penambahbaikan pada 9 Jun 2021 untuk dilaksanakan oleh Prasarana dan Rapid Rail. 

Pihak MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sentiasa memantau rapi perkembangan terhadap usaha-usaha Prasarana dan Rapid Rail dalam melaksanakan 23 inisiatif di mana 5 adalah untuk jangka masa pendek (1 hingga 3 bulan), 11 untuk jangka masa sederhana (3 hingga 6 bulan) dan 7 untuk jangka masa panjang (6 bulan atau lebih lama). 

“Sukacita, saya maklum di sini bahawa Kementerian Pengangkutan mengambil maklum kemajuan pelaksanaan 23 inisiatif pembaikan LRT Laluan Kelana Jaya dan mahu prestasi dipertingkatkan secara menyeluruh,” kata Menteri Pengangkutan, Dato’ Sri Ir. Dr. Wee Ka Siong dalam satu sidang media di pejabatnya di sini hari ini. 

Prasarana telah melaksanakan sepenuhnya kelima-lima cadangan jangka masa pendek dan 11 jangka masa sederhana.

Manakala 7 inisiatif jangka masa panjang sedang giat dilaksanakan dan mengikut jadual yang ditetapkan. Status 7 inisiatif berikut adalah: 

Bagi memantapkan 23 inisiatif sedia ada, pihak Prasarana dan Rapid Rail telah menambah 3 lagi langkah penambahbaikan seperti berikut: 

1. Pemasangan kamera litar tertutup di dalam OCC yang telah siap pada 27 Julai 2021; 

2. Meningkatkan tahap boleh lihat (visibility) penanda sektor landasan dan pemasangan papan tanda di dalam terowong yang telah siap pada 30 November 2021; dan 

3. Menaiktaraf sistem komunikasi radio kepada digital sepenuhnya yang akan bermula pada suku keempat 2022. 

Secara keseluruhan, Kementerian Pengangkutan telah memperuntukkan RM450 juta bagi inisiatif-inisiatif penambahbaikan ini. 

2.0 PENJELASAN DAN PENAMBAHBAIKAN OLEH PRASARANA DAN RAPID RAIL MENGENAI INSIDEN-INSIDEN YANG BERLAKU KEBELAKANGAN INI

Prasarana mengakui bahawa prestasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya agak menurun pada masa sekarang dengan berlakunya beberapa insiden yang menyebabkan gangguan dalam perkhidmatan; sekali gus menyebabkan kekecewaan di kalangan para pengguna perkhidmatan berkenaan. 

2.1 INSIDEN BREK KECEMASAN 

Saya dimaklumkan oleh pihak pengurusan Prasarana dan Rapid Rail mengenai cabaran yang dihadapi berkaitan gangguan terhadap sistem kendalian pemanduan automatik tren (ATC) khusus pada tren 4 gerabak jenis 818. Gangguan teknikal ini telah menyebabkan brek kecemasan diaktifkan. Sebanyak 38 insiden brek kecemasan telah berlaku antara 1 April hingga 5 Mei 2022. 

Daripada data yang diperolehi, gangguan ini disebabkan oleh beberapa faktor khususnya masalah ‘tachometer’ yang menyumbang 47% daripada jumlah kes; unit elektronik 32%, antena 6% dan masalah-masalah lain sebanyak 15%. 

Rapid Rail telah melancarkan program pemeriksaan khas bagi memeriksa komponen-komponen tersebut. Selain itu penggantian komponen rosak serta ujian dinamik turut akan dilakukan bagi memastikan masalah ini tidak berulang. Sehingga kini, tahap pemeriksaan dan pembaikan telah mencapai 14% dan disasarkan siap sepenuhnya pada bulan Ogos 2022. 

2.2 ISU KEROSAKAN ANGKUP BREK LRT 

Beberapa insiden telah dilaporkan berlaku melibatkan tren 4 gerabak 818 yang berpunca daripada kerosakan angkup brek. Langkah segera yang sedang diambil adalah pelaksanaan program pembaikan sistem angkup brek bagi tren 818 sedang giat dijalankan dan telah mencapai kemajuan sebanyak 39% dan disasarkan siap sepenuhnya pada November 2022. Manakala langkah tambahan yang sedang diambil adalah mempertingkatkan kekerapan pemeriksaan secara mingguan terhadap tren 818 sebelum tren tersebut digunakan di dalam perkhidmatan.

2.3 INSIDEN BEKALAN ELEKTRIK TERPUTUS DI LALUAN KELANA JAYA 

Perkhidmatan Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan sementara pada 24 Mei 2022 ekoran masalah bekalan kuasa elektrik di dua Traction Power Sub Station (TPSS) di Stesen Kelana Jaya dan Stesen Universiti. 

Siasatan sedang dijalankan dan penemuan awal mendapati terdapat kesilapan teknikal yang memerlukan perbincangan lanjut bersama kontraktor berkaitan. 

2.4 INISIATIF PENAMBAHBAIKAN OPERASI PENGURUSAN KRISIS BERIKUTAN INSIDEN-INSIDEN YANG BERLAKU BARU-BARU INI 

Beberapa inisiatif penambahbaikan operasi pengurusan krisis akan dilaksanakan segera bagi mengurangkan impak kepada penumpang ketika berlaku gangguan. Antara inisiatif itu adalah; 

a. Menempatkan beberapa unit bas di stesen utama dan strategik seperti Stesen LRT Bangsar dan hab Pasar Seni untuk diaktifkan sekiranya berlaku kecemasan. Bas bas ini akan diaktifkan sebagai pengangkutan alternatif sekiranya berlaku gangguan yang melibatkan kelewatan perkhidmatan tren melebihi 15 minit. 

b. Menambah anggota Polis Bantuan Prasarana di stesen-stesen sibuk seperti Masjid Jamek, Pasar Seni dan KLCC pada waktu puncak. 

c. Meningkatkan pengurusan kawalan orang ramai (crowd control) dengan menambahbaik kecekapan komunikasi kepada penumpang ketika berlaku gangguan. 

Langkah-langkah di atas adalah tindakan proaktif Rapid Rail bagi mengurangkan kesulitan kepada pengguna sekiranya berlaku gangguan perkhidmatan. 

Language:

Search