Search
Close this search box.

_

KADAR TAMBANG BIASA REL BANDAR BERMULA 1 SEPT, INISIATIF BARU SENANTIASA DIPERKENALKAN

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Rapid Rail Sdn Bhd amat tersentuh dengan sambutan baik dan sokongan padu orang ramai, terutamanya pengguna rel bandar di Lembah Kelang, semenjak perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang dibuka sepenuhnya pada 17 Julai 2017.

Berikutan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa majlis pelancaran Fasa Kedua MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang berhubung diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan rel bandar sehingga 31 Ogos 2017, hampir 30 juta perjalanan MRT, LRT, BRT, dan monorel Rapid KL telah memperolehi manfaat diskaun tambang 50 peratus tersebut.

Namun, bermula 1 September 2017, kadar tambang biasa perkhidmatan rel bandar Rapid KL akan kembali dilaksanakan untuk kesemua perjalanan MRT, LRT, BRT, dan monorel pada sepanjang hari.

“Para pengguna rel bandar, walau bagaimanapun, masih boleh menikmati diskaun sehingga 20 peratus berbanding tambang tunai dengan menggunakan mod bayaran tanpa tunai seperti kad MyRapid Touch ‘n Go atau kad Touch ‘n Go yang lain.

“Para pengguna kerap juga boleh membeli pakej-pakej tanpa tunai khas seperti “Smart 7” atau “Smart 30” yang menawarkan diskaun tambahan, mengikut kesesuaian dan corak perjalanan masing-masing,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman.

Di samping itu, golongan pelajar, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) boleh menikmati diskaun 50 peratus dalam tambang perjalanan dengan menggunakan Kad Konsesi. 

Zohari berharap sambutan baik dan sokongan padu para pengguna perkhidmatan rel bandar Rapid KL akan berterusan dan bertekad akan senantiasa berusaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan rel bandar Rapid Rail.

Terbaru, LRT Laluan Kelana Jaya telah memperkenalkan 13 tren 4-gerabak generasi terkini untuk meningkatkan keselesaan para pengguna di samping mengurangkan masa menunggu tren terutamanya semasa waktu puncak.

Perkhidmatan bas perantara juga telah dilanjutkan ke semua stesen monorel dari pukul 7 pagi sehingga 10 malam setiap hari bekerja untuk menyokong perkhidmatan Laluan Monorel.

 “Kami juga sedang mengemaskinikan program kesetiaan pelanggan kami dan akan memperkenalkan program terbaru pada masa akan datang untuk menggalakkan lebih ramai warga kota menggunakan pengangkutan awam,” kata Zohari dalam satu kenyataan pada hari ini.

Zohari berkata pembukaan penuh MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang sepanjang 51km dan merentasi 31 stesen tersebut juga telah menambahbaik dan mengutuhkan kesaling hubungan (connectivity) jajaran rel bandar.

“Para penduduk di kawasan-kawasan berpendudukan padat di Cheras yang sering mengalami kesesakan jalanraya seperti Taman Petama, Taman Mutiara, Taman Midah, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Mahkota, Sungai Long, dan Kajang kini boleh meneruskan perjalanan mereka ke pusat bandar menerusi perkhidmatan MRT yang cekap dan menepati masa dengan tambang yang berpatutan.

“Di samping melengkapkan perjalanan para penduduk di Cheras ke pusat bandar, perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang turut menghubungkan para pengguna ke pelbagai penempatan di sekitar Lembah Kelang dan pusat-pusat komersil menerusi stesen-stesen MRT yang bersepadu dengan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling menerusi stesen-stesen bersepadu Pasar Seni, Maluri, dan Plaza Rakyat, dan stesen-stesen sambungan Muzium Negara dan KL Sentral,” tambah Zohari.

Kata Zohari, Rapid Rail akan sentiasa bersikap pro-aktif dalam inisiatif-inisiatifnya bagi menjaga kepentingan para pelanggan ini.

“Pendekatan yang sama akan terus kami pegang dalam memperkenalkan inisiatif-inisiatif baru demi keselesaan dan kemudahan para penumpang serta menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan ‘modal share’ pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2030,” tambah beliau.

Language:

Search
Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App