Search
Close this search box.

_

#JOMNAIKBAS PERCUMA KE PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 20 Februari 2023 – Kementerian Pengangkutan Malaysia (Ministry of Transport – MOT) hari ini telah melancarkan inisiatif perkhidmatan bas perantara percuma di antara KL Sentral dan Bangunan Parlimen, dikendalikan sepenuhnya oleh Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus).

Dirasmikan oleh YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan, perkhidmatan ini beroperasi mulai hari ini sehingga 6 April 2023, sepanjang persidangan Parlimen, bagi memberi kemudahan kepada pengguna yang ingin ke Bangunan Parlimen atas urusan rasmi ataupun tugas. Ia juga adalah satu inisiatif untuk mengatasi masalah kesesakan dan tempat letak kereta yang terhad di kawasan Parlimen.

Pihak Prasarana dan Rapid Bus amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan MOT dalam menyediakan perkhidmatan bas percuma ini kepada mereka yang perlu ke Parlimen. Inisiatif ini juga selaras dengan Ikrar Kenyataan Polisi Alam Sekitar Prasarana dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu sasaran neutral karbon melalui pengurangan pelepasan karbon menjelang tahun 2050 ke arah kelestarian alam sekitar.

Perkhidmatan bas perantara percuma ini beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, 7.00 pagi hingga 8.00 malam. Kekerapan bas adalah setiap 30 minit pada waktu puncak (7.00 pagi hingga 10.30 pagi, 4.30 petang hingga 8.00 malam) dan setiap 60 minit diluar waktu puncak.

Bas perantara percuma ini mengambil penumpang di Balai Pelepasan ERL, KL Sentral dan juga dari Taman Botani Perdana (berhampiran tempat letak kereta bertingkat) untuk ke Bangunan Parlimen.

Perkhidmatan ini meliputi laluan sepanjang 5 km dan mengambil masa lebih kurang 15 minit. Menggunakan bas yang lebih kecil, ia adalah lebih sesuai untuk melalui jalan di sekitar Taman Botani Perdana yang lebih kecil. Ia juga adalah sejajar dengan perancangan untuk menggunakan bas-bas yang lebih kecil di Lembah Klang bagi memastikan lebih banyak kawasan dapat dilalui.

Pihak Prasarana dan Rapid Bus juga menyeru semua pihak yang mempunyai urusan di Bangunan Parlimen untuk memanfaatkan perkhidmatan bas percuma ini dan berharap semoga pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas dapat dimartabatkan sebagai mod pengangkutan pilihan bagi semua lapisan masyarakat di ibu kota untuk menjalani aktiviti harian.

Bagi maklumat lanjut tentang perkhidmatan ini, sila layari laman web dan laman media sosial Rapid KL.

Language:

Search