Search
Close this search box.

_

JARINGAN PERKHIDMATAN “DEMAND RESPONSIVE TRANSIT” (DRT) DIPERLUASKAN LAGI 

 DRT T221 Bagi Warga Sri Rampai Bermula 20 Mei 2024 

 KUALA LUMPUR, 17 Mei 2024 – Bermula 20 Mei 2024, perkhidmatan van “Demand Responsive Transit” (DRT) akan meluaskan jaringannya dengan permulaan operasi satu (1) lagi laluan baharu, iaitu Laluan T221 (LRT Sri Rampai – Giant Ulu Kelang). 

Tetap menggunapakai konsep pesanan di hujung jari seperti laluan DRT yang lain, laluan T221 ini menawarkan fleksibiliti untuk menempah perjalanan mengikut masa yang diinginkan melalui aplikasi Kumpool. 

Perkhidmatan van DRT ini akan beroperasi serentak dengan bas Rapid KL bagi laluan T221 selama dua (2) hingga empat (4) minggu. Rapid Bus akan menggunakan tempoh ini untuk menganalisa trend penggunaan dan permintaan penumpang. Ini adalah tempoh peralihan sebelum beralih sepenuhnya kepada van DRT sebagai mod pengangkutan tetap. 

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij menyatakan, “Laluan-laluan yang dipilih untuk perkhidmatan DRT ini adalah dari laluan yang mempunyai kadar pengguna dan kekerapan yang agak rendah. Bagi memberi nafas baharu dan merancakkan lagi pengangkutan awam di Lembah Klang ini, kami di Rapid Bus merangka penambahan laluan menggunakan mod DRT ini, yang pastinya lebih pantas, tidak kira pada waktu puncak mahupun luar waktu puncak. Masa perjalanan para penumpang juga lebih pendek.” 

Bermula dari tahun 2022, perkhidmatan DRT telah dilancarkan di LRT Wangsa Maju, LRT Alam Megah, LRT Taman Paramount dan LRT Taman Bahagia. Perkhidmatan ini mendapat sambutan yang sangat positif dari para penumpang, dengan peningkatan penumpang lebih daripada 15% secara purata. 

Pengenalan DRT laluan T221 ini menjadikan jumlah van yang telah dilancarkan setakat ini kepada lima (5) buah. Menjelang penghujung bulan Jun 2024, Rapid Bus akan memperluaskan lagi jaringan DRT dengan lebih daripada 15 buah van di beberapa buah stesen LRT yang lain di Lembah Klang.

Perkhidmatan DRT menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6.00 pagi sehingga 11.30 malam. Dengan tambang pengenalan RM1.00 untuk setiap perjalanan, penumpang boleh membayar tambang menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50 serta kad Touch ‘n Go, Pas MyCity, Pas Famili, Kad Konsesi MyRapid, Pas Perjalanan Percuma OKU Smile atau secara tunai.

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, para penumpang boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my 

Language:

Search