KUALA LUMPUR, 2 November 2022 – Jadual perjalanan perkhidmatan MRT Laluan Kajang telah mengalami gangguan pada pagi ini ekoran insiden pokok tumbang ke atas landasan di antara Stesen MRT Phileo Damansara dan Stesen MRT Pusat Bandar Damansara.
Kejadian yang berlaku pada jam 5.04 pagi itu adalah berikutan hujan lebat dan angin kencang yang melanda sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, perkhidmatan servis alternatif oleh pihak operasi diaktifkan serta-merta di mana penumpang dari arah Kwasa Damansara perlu menukar tren di platform 1 Stesen MRT Semantan bagi meneruskan perjalanan ke Kajang.
Penumpang-penumpang dari arah Kajang telah diminta menukar tren di platform 2 Stesen MRT Semantan untuk meneruskan perjalanan ke Kwasa Damansara.
Kakitangan operasi and anggota Polis Bantuan telah ditempatkan di stesen–stesen terlibat untuk membantu penumpang and mengawal kesesakan di platform.
Pihak operasi telah mengambil tindakan segera dengan menghantar tren kosong ke stesen-stesen yang sesak untuk mengambil penumpang.
Bagi mengurangkan kesesakan juga, pihak operasi juga telah melanjutkan tempoh waktu puncak pagi bagi MRT Laluan Kajang ke jam 10.00 pagi.
Kerja-kerja pembersihan telah dijalankan dan selesai pada jam 8.07 pagi dan operasi MRT Laluan Kajang telah pulih pada kekerapan normal secara berperingkat pada jam 8.12 pagi.
Pengumuman juga telah dibuat menerusi platform rasmi sosial media Rapid KL dan di semua stesen MRT untuk makluman penumpang.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak operasi akan menilai kawasan sekitar landasan dan stesen agar situasi yang sama dapat dielak di masa akan datang.
Pihak Rapid Rail mengambil maklum kesulitan yang dialami oleh para penumpang dan memohon maaf di atas tempoh menunggu yang lebih lama, kesesakan di stesen serta gangguan perjalanan yang dialami oleh para penumpang yang terjejas.