- 13 zon baharu diperkenal mulai 9 Jun 2025
- Zon menggunakan aplikasi Rapid On-Demand diperluas secara berperingkat
KUALA LUMPUR, 7 Jun 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan Rapid KL On-Demand bakal memperkenalkan 13 buah zon baharu bermula pada 9 Jun 2025.
Selain itu, aplikasi baharu bagi tempahan perkhidmatan ini yang diberi nama Rapid On-Demand juga diperkenal dan tempahan melalui aplikasi ini bermula dengan zon-zon sambungan ke perkhidmatan MRT yang akan mula beroperasi pada 9 Jun ini, seperti berikut
Zon | Jumlah Van | Aplikasi Tempahan |
MRT Semantan – KTM Segambut | 2 | Rapid On-Demand |
MRT Bukit Dukung – Sg. Sekamat | 1 | Rapid On-Demand |
MRT Sungai Buloh – Bandar Rahman Putra | 3 | Rapid On-Demand |
MRT Serdang Raya Selatan – Taman Bukit Serdang | 2 | Rapid On-Demand |
MRT Metro Prima – Taman Botani Kepong (FRIM) | 2 | Rapid On-Demand |
MRT Kentonmen – Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC) | 3 | Rapid On-Demand |
MRT Sg. Jernih – Taman Puncak Saujana | 2 | Rapid On-Demand |
MRT Serdang Raya Utara – Pavilion Bukit Jalil | 4 | Rapid On-Demand |
MRT Taman Equine – Lestari Perdana | 4 | Rapid On-Demand |
MRT Metro Prima – Taman Bukit Maluri | 2 | Rapid On-Demand |
MRT Sri Delima – Sri Segambut | 2 | Rapid On-Demand |
Kota Kemuning – Gamuda Walk Mall | 3 | Kummute |
LRT Alam Megah – Alam Megah | 2 | Kummute |
Zon-zon yang boleh ditempah melalui aplikasi Rapid On-Demand yang baharu ini akan diperluas secara berperingkat bagi memberi kemudahan kepada para pengguna yang ingin menempah perkhidmatan Rapid KL On-Demand.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Encik Amir Hamdan berkata, pelaksanaan aplikasi baharu Rapid On-Demand ini memberi kemudahan di hujung jari kepada para pengguna serta meningkatkan lagi pengalaman pelanggan bukan sahaja dari segi perkhidmatan yang ditawarkan malah dari segi tempahan. “Dengan inovasi ini yang menitikberatkan aspek lestari, responsif serta mesra pengguna, kami menyasarkan untuk menjadikan pengangkutan awam pilihan utama penduduk di Lembah Klang”, tambah beliau.
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand kini telah meliputi 47 zon dan menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6.00 pagi sehingga 11.30 malam. Bagi menggalakkan orang ramai untuk mencuba perkhidmatan ini, khususnya sebagai sambungan perjalanan “first-last mile”, tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan diteruskan, pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan:
- Kad Touch ‘n Go
- Kad debit atau kredit
- Kad Konsesi MyRapid
- Pas Perjalanan OKU Smile
- Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili)
Para pengguna boleh memuat turun aplikasi Rapid On-Demand secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store untuk membuat tempahan dengan mudah. Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my