Search
Close this search box.

_

HARI PERTAMA PEMBUKAAN SEMULA LRT LALUAN KELANA JAYA BERJALAN LANCAR

KUALA LUMPUR, 14 November 2022 – Pembukaan sepenuhnya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah bermula pada jam 6 pagi ini, Isnin 14 November, setelah 16 stesen digantung perkhidmatan selama lima hari pada minggu lepas.

Tinjauan di stesen-stesen utama di sekitar Kuala Lumpur ketika waktu puncak pagi menunjukkan pergerakan penumpang adalah lancar. Kesesakan penumpang di stesen-stesen telah berkurangan namun Polis Bantuan, pegawai-pegawai stesen dan juga kakitangan Prasarana masih memantau keadaan.

Sebagai langkah persediaan, sejumlah 92 bas perantara percuma diaktifkan untuk memberi pilihan alternatif serta kemudahan kepada orang awam.

Perlaksanaan pampasan kepada penumpang LRT Laluan Kelana Jaya seperti yang telah diumumkan juga bermula pada hari ini dan kakitangan stesen telah membantu memberi penerangan kepada penumpang.

Setakat jam 4 petang, operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya adalah stabil. Terdapat gangguan sementara kepada sistem bukan kritikal keselamatan yang telah berlaku pada jam 12.43 tengahari tadi yang menjejaskan beberapa stesen di sekitar Stesen Damai, namun ianya telah dipulihkan dalam masa 15 minit. Pihak Rapid Rail memohon maaf kepada penumpang-penumpang yang terjejas.

Kelancaran keseluruhan sistem LRT Laluan Kelana Jaya akan terus dipantau oleh pakar teknikal Rapid Rail bagi memastikan operasi dan sistem kekal stabil serta selamat untuk semua pengguna.

Pihak Prasarana dan Rapid Rail sekali lagi berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menggunakan pengangkutan awam. Kami memberi jaminan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk semua.

Untuk sebarang maklumat, sila hubungi kami di suggest@rapidkl.com.my atau hubungi kami di 03-7885 2585 pada hari Isnin hingga Jumaat, dari 7.00 pagi hingga 8.30 malam, Sabtu hingga Ahad dan Cuti Umum dari 7.00 pagi hingga 5.30 petang. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini melalu saluran media sosial Rapid KL ataupun melalui aplikasi PULSE.

Language:

Search