KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Bersempena perlumbaan Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix 2018 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu depan, Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan bas perantara khas bagi memastikan keselesaan perjalanan dan keseronokan penuh kepada para peminat sukan permotoran menyaksikan acara hebat itu.
Dengan adanya kemudahan pengangkutan bas perantara terus ke Sepang, para peminat boleh menghembus nafas lega kerana tidak perlu resah mencari parkir dan mengharungi trafik untuk ke perlumbaan berkenaan, yang dijangka menarik lebih 170,000 penonton sepanjang acara tiga hari daripada 2 hingga 4 November.
Dengan kawasan parkir yang terhad kepada hanya 20,000 kereta di SIC, penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam adalah langkah bijaksana untuk mereka yang ingin memaksimakan pengalaman menyeronokkan berkunjung ke acara berprestij itu.
Selain aksi-aksi hebat di trek khususnya penampilan wira negara Hafizh Syahrin Abdullah di pentas perdana MotoGP untuk bersaing dengan jagoan dunia Valentino Rossi, Andrea Dovizioso, Dani Pedrosa, Johan Zarco dan juara dunia 2018, Marc Marques, para peminat akan turut teruja dengan aktiviti-aktiviti luar trek khususnya Karnival Mega MotoGP di kawasan Mall dan Welcome Centre.
Turut bakal menjadi perhatian di kalangan penyokong tempatan pastinya aksi ‘SuperKIP’ Khairul Idham Pawi dalam kelas Moto2, Adam Norrodin di kancah Moto3 dan pelumba sensasi berusia 15 tahun, Muhammad Danial Syahmi Ahmad Shahril, yang semakin garang dalam kejohanan IDEMITSU Asia Talent Cup 2018.
“Untuk tahun keempat berturut-turut, perkhidmatan bas perantara Rapid KL kembali untuk berbakti kepada sukan bermotor yang berprestij bagi menyediakan perjalanan selesa dan selamat kepada para peminat dalam dan luar negara ke SIC.
“Rapid KL berbangga untuk terus dipilih oleh SIC sebagai Penyedia Perkhidmatan Bas Rasmi untuk acara tahun ini bagi menyediakan perkhidmatan bas perantara antara Kuala Lumpur dan KLIA2 ke SIC dari tiga lokasi pilihan – KL Sentral, KLCC dan KLIA2 untuk ketiga-tiga hari acara. Tiket-tiket perkhidmatan bas perantara khas MotoGP ini akan mula dijual hari ini (25 Oktober),” menurut kenyataan media Rapid KL – perkhidmatan yang dipacu oleh Rapid Bus, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Tiket-tiket bas berharga RM20 untuk perjalanan sehala dari KLCC dan KL Sentral dan sebaliknya; dan RM35 untuk perjalanan pergi balik. Untuk perjalanan dari KLIA2 pula, harga tambang adalah RM12 sehala.
“KL Sentral dipilih sebagai lokasi kerana ia merupakan hab pengangkutan awam bandaraya Kuala Lumpur dengan jalinan hubungan LRT, MRT, Monorel, ERL dan KTM Komuter. Selain kedudukan di tengah-tengah bandaraya, KLCC pula mempunyai hubungan dengan LRT dan perkhidmatan bas percuma Go KL; sekali gus menjadi opsyen terbaik untuk para peminat.
“Sehingga 4 November, tiket-tiket bas akan dijual di kaunter tiket stesen-stesen LRT KL Sentral, KLCC dan Masjid Jamek ( Laluan Kelana Jaya) di samping kaunter konsesi kad di hab bas Pasar Seni, yang, bagaimanapun, tidak dibuka pada hari Ahad ,” tambah kenyataan berkenaan.
“Apabila acara bermula pada 2 November, tiket-tiket bas juga dijual di tempat mengambil dan menurunkan penumpang KLCC, KL Sentral dan Gateway@KLIA2 (Hab Pengangkutan di Aras 1, Kaunter 10),” tambah kenyataan itu.
Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara sekeliling fasiliti litar berkenaan untuk kemudahan para penonton bergerak ke tempat duduk masing-masing. Perkhidmatan ini adalah percuma untuk para penonton Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix 2018.
Untuk ketiga-tiga hari, perkhidmatan dari KL Sentral, KLCC dan KLIA2 ke Litar Sepang akan bermula pada 8 pagi dan berakhir pada 1 tengahari; manakala perkhidmatan keluar daripada SIC akan bermula pada 4 petang dengan bas terakhir pada 7 malam.
Kekerapan bas adalah 30 minit, bergantung kepada keadaan trafik.