KUALA LUMPUR, 3 Disember 2020 – Bersempena sambutan Hari OKU Kebangsaan yang disambut minggu ini, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) boleh menggunakan perkhidmatan tren Rapid KL secara percuma selama dua hari pada 5 dan 6 Disember ini. Ia meliputi kesemua perkhidmatan rel kendalian Rapid KL iaitu LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, LRT Laluan Kelana Jaya, MRT Laluan Kajang dan Laluan Monorel
Ditawarkan kepada semua warga negara Malaysia yang memiliki kad rasmi OKU yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembanguan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, tambang percuma untuk menggunakan perkhidmatan rel Rapid KL ini akan turut diberikan kepada seorang pembantu kepada OKU berkenaan, menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
“Bersempena sambutan Hari OKU, Prasarana merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kementerian khususnya Jabatan Pembangunan OKU atas segala usaha gigih mereka memperkasakan kesejahteraan kehidupan golongan istimewa ini.
“Sebagai warga negara Malaysia, golongan OKU turut menjadi penyumbang besar kepada proses pembangunan nasional atau ‘nation building’ bagi menzahirkan komuniti yang berkelas dunia; yang prihatin kepada segala aspek kehidupan untuk menjadikan Malaysia negara contoh di mata masyarakat antarabangsa. Dalam mencapai aspirasi ini, Prasarana akan terus bekerja rapat dengan Kementerian khususnya bagi memastikan kesejahteraan kehidupan di kalangan golongan OKU di negara ini terus terpelihara.
“Meneruskan tradisi prihatin kami kepada rakyat, Prasarana akan memberikan perjalanan percuma untuk para pemegang kad OKU bersama-sama seorang pembantu menggunakan perkhidmatan rel Rapid KL – LRT, MRT dan monorel – untuk dua hari pada 5 dan 6 Disember ini bersempena dengan sambutan Hari OKU Kebangsaan 2020.
“Prasarana sememangnya peka dengan keperluan golongan OKU; dan akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian untuk memperkasakan keselesaan di kalangan OKU dalam menggunakan perkhidmatan kami. Di luar tempoh promosi istimewa ini, Prasarana sememangnya menawarkan diskaun 50 peratus untuk golongan OKU menggunakan perkhidmatannya,” menurut kenyataan berkenaan.
Ia juga menyebut bahawa Prasarana telah membina dan menaikkan taraf semua fasiliti-fasiliti kendaliannya termasuk tren dan bas bercirikan mesra OKU. Ketika mula beroperasi pada tahun 1996, perkhidmatan STAR LRT, yang kini bergelar LRT Laluan Ampang, ia tidak bercirikan mesra OKU sehinggalah Prasarana menaikkan taraf semua stesen-stesen laluan berkenaan pada tahun 2012 dengan dilengkapi kemudahan lif dan kawasan platform dinaikkan untuk memudahkan pergerakan kerusi roda masuk dan keluar tren.
Prasarana turut melaksanakan kerja-kerja penaikan taraf stesen-stesen monorel untuk kemudahan OKU manakala stesen dan tren MRT sememangnya dibina untuk mesra golongan kurang upaya. Di samping itu, Prasarana juga menggunakan bas-bas yang mesra golongan kurang upaya untuk perkhidmatan bas henti-hentinya di seluruh negara.