Search
Close this search box.

_

GANGGUAN TEKNIKAL TREN JEJAS JADUAL PERKHIDMATAN MRT LALUAN KAJANG

KUALA LUMPUR, 19 Mei 2023 – Dua gangguan teknikal di perkhidmatan MRT Laluan Kajang telah menjejaskan jadual perkhidmatan pada petang ini.

Gangguan pertama melibatkan tren bernombor 30 yang mengalami masalah teknikal di Stesen MRT Pasar Seni.

Kejadian yang berlaku bermula jam 5.24 petang itu, berpunca daripada tekanan angin rendah yang telah menyebabkan tren berhenti dan sistem brek kecemasan diaktifkan secara automatik.

Pihak operasi telah menyediakan perkhidmatan 10 buah bas perantara percuma bagi membawa penumpang terjejas di antara Stesen MRT Muzium Negara dan Stesen MRT Maluri serta mengaktifkan pelan laluan alternatif bagi memudahkan perjalanan penumpang yang terkesan.

Pasukan kejuruteraan Rapid Rail telah berjaya menggerakkan tren tersebut pada jam 6.49 petang dan kekerapan perkhidmatan tren telah diselaraskan secara berperingkat pada jam 7.10 petang.

Gangguan kedua pula telah berlaku pada tren bernombor 03 di Stesen Batu 11 Cheras menghala ke Kwasa Damansara pada jam 7.23 petang.

Ia juga berpunca daripada gangguan tekanan angin rendah yang menyebabkan tren berhenti dan sistem brek kecemasan diaktifkan secara automatik.

Pasukan kejuruteraan Rapid Rail telah berjaya menggerakkan tren tersebut pada jam 8.04 malam dan kekerapan perkhidmatan tren telah diselaraskan secara berperingkat pada jam 8.10 malam.

Kakitangan operasi dan Polis Bantuan telah ditempatkan di stesen bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas.

Pengumuman telah dibuat menerusi media sosial Rapid KL, di semua stesen dan di dalam tren MRT untuk makluman penumpang.

Pihak operasi telah melanjutkan perkhidmatan waktu puncak dengan kekerapan tren setiap enam minit sehingga jam 8.30 malam.

Pihak Rapid Rail memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh para penumpang.

Language:

Search