Search
Close this search box.

_

GANGGUAN TEKNIKAL JEJAS JADUAL PERJALANAN LRT LALUAN KELANA JAYA

KUALA LUMPUR, 2 September 2022 – Operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah mengalami kelewatan pada pagi ini disebabkan masalah teknikal yang dihadapi tren nombor 82 ketika menghampiri Stesen LRT Universiti menghala ke Putra Heights.

Kejadian yang berlaku pada pukul 9.40 pagi ini menyebabkan tren tersebut terkandas ketika menghampiri Stesen Universiti. Seramai 54 penumpang diiringi petugas rel telah dikeluarkan dengan selamat dan teratur melalui laluan keselamatan yang terdapat di trek ke platform Stesen Universiti dalam jarak 10 meter.

“Kami ingin memohon maaf kepada semua pengguna yang telah mengalami kelewatan dan kesulitan untuk menuju ke destinasi anda pada pagi ini. Siasatan secara mendalam akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kerosakan tren. Ini bagi memastikan kejadian seumpama ini dapat dielakkan di masa hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Encik Amir Hamdan.

Selepas kesemua penumpang dikeluarkan, tren 82 telah dibawa keluar dari perkhidmatan dan operasi Laluan Kelana Jaya telah pulih pada kekerapan normal pada pukul 10.30pagi.

Pengumuman menerusi platform media sosial Rapid KL dan di stesen telah dilakukan untuk makluman pengguna.

Language:

Search