KUALA LUMPUR, 9 Jun 2025 – Rapid Rail Sdn Bhd ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan Laluan Kelana Jaya telah beroperasi pada jam 11.10 pagi tadi selepas kerja-kerja baik pulih peringkat awal telah berjaya diselesaikan.
Kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 5.30 pagi tadi berpunca daripada gangguan pada sistem suis landasan di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Bangsar menghala ke Putra Heights.
Ekoran daripada gangguan sistem suis landasan tersebut, tren dari arah Gombak menghala ke Putra Heights terpaksa dipandu secara manual dari Stesen Pasar Seni hingga ke Stesen Bangsar yang menyebabkan tren bergerak lebih perlahan dan berhenti lebih lama di setiap platform.
Pada jam 10.56 pagi, pasukan kejuruteraan Rapid Rail telah berjaya menyelesaikan kerja-kerja baik pulih peringkat awal. Pihak operasi turut menjalankan ujian terhadap sistem dan komponen landasan bagi memastikan perkhidmatan laluan ini boleh beroperasi semula mengikut piawaian keselamatan.
Walaubagaimanapun, pihak kejuruteraan dan operasi akan terus memantau perjalanan tren sepanjang waktu operasi bagi memastikan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya berjalan dengan lancar.
Selain itu, kerja-kerja baik pulih sepenuhnya akan dilaksanakan selepas tamat waktu operasi untuk mengurangkan gangguan kepada penumpang. Siasatan terperinci juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca gangguan agar kejadian seumpama ini tidak berulang.
Rapid Rail ingin berterima kasih kepada penumpang di atas kesabaran sepanjang gangguan perkhidmatan ini.