-Tren bergerak lebih perlahan di antara Stesen Pasar Seni ke Stesen Bangsar menghala ke Putra Heights
KUALA LUMPUR, 9 Jun 2025 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali rel Rapid KL ingin memaklumkan perkhidmatan Laluan Kelana jaya sedang mengalami kelewatan jadual disebabkan gangguan suis landasan di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Bangsar yang dilaporkan berlaku pada jam 5.30 pagi tadi.
Sebagai langkah keselamatan, tren dari Stesen Pasar Seni ke Stesen Bangsar menghala ke Putra Heights dipandu secara manual, menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan di antara dua stesen tersebut.
Pasukan kejuruteraan Rapid Rail kini berada di lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk mengembalikan operasi normal secepat mungkin.
Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen telah ditempatkan di platform dan ruang legar stesen untuk membantu penumpang. Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen.
Penumpang dinasihatkan untuk merujuk pada laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini.
Rapid Rail memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama daripada semua pengguna.