Search
Close this search box.

_

GANGGUAN SISTEM TEKNOLOGI MAKLUMAT RANGKAIAN KOMPUTER MRT LALUAN PUTRAJAYA TIDAK JEJAS OPERASI DAN KESELAMATAN 

  MRT Corp Dan Pihak Kontraktor Kendaliannya Sedang Mengatasi Isu Rangkaian 

KUALA LUMPUR, 7 Jun 2023 – Rapid Rail Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, selaku operator kepada perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya ingin memberi jaminan bahawa gangguan sistem teknologi maklumat rangkaian komputer yang sedang dihadapi di stesen-stesen MRT Laluan Putrajaya buat masa ini tidak sama sekali menjejaskan keselamatan operasi laluan tersebut. 

Isu rangkaian tersebut, yang dikesan sewaktu pemeriksaan rutin, telah memberi kesan kepada beberapa komponen rangkaian termasuk akses kepada emel, internet dan juga perkhidmatan tambah nilai Touch ‘n Go. 

Masalah tersebut telah menyebabkan pengguna tidak dapat membuat sebarang transaksi tambah nilai Touch ‘n Go di stesen-stesen MRT Laluan Putrajaya sahaja. Ia tidak menjejaskan operasi serta integriti keselamatan laluan tersebut, termasuk penggunaan sistem tiket integrasi. 

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) selaku pemilik aset MRT serta pihak kontraktornya dan Rapid Rail kini sedang bekerjasama dalam memastikan integriti sistem teknologi maklumat rangkaian komputer MRT terjaga di setiap peringkat. 

Kerja-kerja baikpulih gangguan sistem rangkaian tersebut kini sedang giat dijalankan oleh kontraktor di bawah kelolaan MRT Corp, termasuk pengimbasan lengkap sistem teknologi maklumat rangkaian komputer MRT. 

Sistem-sistem MRT direka bentuk supaya bebas (independent) daripada setiap satu. Sekiranya gangguan sedemikian berlaku kepada salah sebuah sistem, semua sistem lain akan diasingkan (isolated) sepenuhnya untuk mengelakkan sebarang kesan kepada sistem pengendalian. 

Buat masa ini, sebarang transaksi Touch ‘n Go di kaunter dan mesin penjual tiket di stesen-stesen MRT Laluan Putrajaya, termasuk untuk memperbaharui pas perjalanan bulanan tanpa had dan pas-pas perjalanan lain, tidak dapat dilakukan. 

Sebagai alternatif, transaksi-transaksi berkenaan boleh dilakukan di mana-mana stesen LRT, MRT Laluan Kajang dan Monorel KL. Pendaftaran kad konsesi boleh dilakukan di kaunter pendaftaran kad konsesi Pasar Seni. 

Pihak Rapid Rail akan memberi perkembangan terkini kepada orang ramai, dari masa ke semasa. 

Language:

Search