Search
Close this search box.

_

GANGGUAN PERKHIDMATAN LRT LALUAN KELANA JAYA (KEMASKINI SETAKAT JAM 9.00 MALAM)

KUALA LUMPUR, 8 November 2022 – Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya kini masih mengalami gangguan menyebabkan perkhidmatan di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park diberhentikan.

Atas faktor keselamatan, perkhidmatan di antara kedua-dua stesen tersebut terpaksa diberhentikan apabila gangguan pada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) Laluan Kelana Jaya mula dikesan pada jam 3.03 petang ini.

Setakat jam 8.30 malam ini, perkhidmatan tren perantara dari Stesen LRT Gombak ke Stesen LRT Damai serta dari Stesen LRT Ara Damansara ke Stesen LRT Putra Heights masih berjalan. Operasi tren dari Stesen LRT Putra Heights berpatah balik di Stesen LRT Ara Damansara manakala operasi tren dari Stesen LRT Gombak berpatah balik di Stesen LRT Damai. Perkhidmatan tren akan ditamatkan pada jam 11 malam ini.

Pengumuman mengenai gangguan perkhidmatan telah dilakukan di stesen dan di dalam tren bagi memaklumkan penumpang mengenai status perkhidmatan terkini serta makluman melalui media sosial Rapid KL juga telah dibuat untuk memudahkan penumpang merancang perjalanan mereka menggunakan perkhidmatan alternatif.

Perkhidmatan bas perantara percuma di antara stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park telah disediakan bagi memudahkan pergerakan penumpang yang terkesan daripada gangguan perkhidmatan ini. Perkhidmatan bas perantara akan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam bagi menampung penumpang.

Pasukan kejuruteraan dan teknikal Rapid Rail, dibantu oleh pihak Thales Group di Canada selaku pengilang peralatan asal atau OEM, sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar gangguan tersebut.

Setakat ini, apa yang diketahui adalah terdapat gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC yang menyebabkan kehilangan signal diantara pusat kawalan dan juga tren. Ini menyebabkan tren-tren tidak dapat beroperasi secara automatik diantara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park.

Kami akan memaklumkan status perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dari masa ke semasa kepada orang awam menerusi saluran-saluran media sosial dan media massa.

Segala kesulitan yang dialami oleh para penumpang disebabkan oleh gangguan ini adalah amat dikesali dan kami memohon maaf atas gangguan perjalanan yang terpaksa ditempuhi oleh semua pengguna perkhidmatan Rapid KL. 

Language:

Search