Search
Close this search box.

_

GANGGUAN PERKHIDMATAN LRT KELANA JAYA KERANA JENTERA PENYELENGGARAAN TERGELINCIR

KUALA LUMPUR, 4 Disember – Perkhidmatan LRT Kelana Jaya mengalami gangguan pagi ini ekoran satu jentera penyelenggaraan (‘flat car’) tergelincir di antara stesen Jelatek dan Datuk Keramat pada awal pagi ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan, menurut satu kenyataan Rapid KL hari ini.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja mengeluarkan jentera berkenaan dijalankan serta merta tetapi tidak dapat diselesaikan sebelum pukul 6 pagi untuk membolehkan perkhidmatan LRT berjalan seperti biasa. Insiden turut merosakkan kabel isyarat (‘signalling cable’) dan peralatan bekalan kuasa di landasan (‘power rail’).

“Bagi memastikan perkhidmatan LRT Kelana Jaya tetap beroperasi, Rapid KL melaksanakan mod perkhidmatan terhad dengan pergerakan satu hala dari Gombak ke Pasar Seni. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya tren-tren LRT Kelana Jaya bergerak dengan kelajuan yang diperlahankan dan berhenti di stesen-stesen lebih lama dari biasa.

“Perkhidmatan daripada KLCC ke Gombak diberhentikan sementara untuk membolehkan kerja-kerja mengeluarkan jentera penyelenggaraan yang tergelincir tadi dan pembaikian trek diteruskan. Perkhidmatan antara Putra Heights dan KLCC berjalan seperti biasa.

“Rapid KL telah mengadakan perkhidmatan bas perantara khas percuma daripada Gombak ke KLCC sehingga jam 10.30 pagi. Para penumpang yang ingin keluar dari platform untuk menggunakan perkhidmatan lain juga diberi bayaran balik bagi token atau kad Touch N’Go masing-masing.
Makluman mengenai gangguan telah dikeluarkan di media sosial dan diumumkan di dalam tren dan stesen sejak 6 pagi. Para penumpang turut digalakkan menggunakan perkhidmatan alternatif.

“Rapid KL memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat daripada gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya ini. Perkhidmatan telah pulih pada jam 11.35 pagi dan kembali normal pada pukul 12 tengahari tadi.

Perkhidmatan rel lain – MRT Sungai Buloh – Kajang, LRT Ampang/Sri Petaling dan Monorel berjalan seperti biasa,” tambah kenyataan berkenaan.

Ikuti media sosial Rapid KL Facebook @myrapid atau Twitter @myrapidkl untuk mendapatkan maklumat mengenai status perkhidmatan terkini.

Language:

Search