KUALA LUMPUR, 16 April 2024 – Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sedang beroperasi dengan bilangan tren yang terhad akibat kegagalan sistem bekalan kuasa yang disambar petir.
Kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 3.30 petang telah mengakibatkan tren-tren tambahan dari Depoh LRT Subang tidak dapat digerakkan untuk kegunaan operasi waktu puncak.
Susulan daripada gangguan ini, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi dengan kekerapan tren 4 hingga 5 minit.
Beberapa fasiliti seperti eskalator, lampu dan lif di tiga stesen LRT iaitu Stesen Kelana Jaya, Stesen Taman Bahagia dan Stesen Taman Jaya tidak dapat berfungsi. Namun pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan LRT seperti biasa di stesen-stesen tersebut.
Bagi tujuan keselesaan dam kesinambungan perjalanan, pengguna boleh menggunakan laluan rel alternatif seperti berikut: –
a) LRT KL Sentral – MRT Muzium Negara & Monorel KL Sentral
b) LRT Dang Wangi – Monorel Bukit Nanas
c) LRT KLCC – MRT Persiaran KLCC
d) LRT Ampang Park – MRT Ampang Park
Kerja-kerja baik pulih masih giat dijalankan oleh jurutera Rapid Rail dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan menerusi kenyataan media susulan dan di platform media sosial Rapid KL.
Anggota Polis Bantuan dan petugas stesen juga telah ditempatkan di platform dan kawasan ruang legar stesen bagi membantu pergerakan penumpang. Pengumuman di platform juga dijalankan secara berterusan.
Pihak Rapid Rail memohon maaf di atas kelewatan dan kesulitan yang dialami oleh para penumpang dan kami amat menghargai kesabaran anda.